"Fiy!" sergah Izzul menyebabkan gadis itu melurutkan penumbuknya yang masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga. Wajahnya yang berbirat kebiruan dipandang lelaki itu risau.
Keluhan berat dilepaskannya sebelum topi di atas kepala lantas dibuka, dipakaikan ke kepala gadis itu. Muncung topi ditekan sedikit ke bawah, menutupi pandangan Fiy.
Spontan tangan kanan gadis itu naik mahu membetulkan posisi topi tetapi cepat ditepis lelaki asing itu.
"Jangan alihkan topi ni walaupun seinci. Kau berdiri dekat sini diam-diam. Apa-apa bunyi yang kau dengar lepas ni, pekakkan telinga."
Ucap lelaki itu sebelum langkah dibawanya pergi. Visual kasut Izzul yang pada awal menjadi tatapan Fiy kini kian menghilang, membiarkan jalan tar untuk menjadi santapan mata.
Izzul memandang tiga orang manusia di hadapannya tanpa riak. Mulutnya terkunci.
"Nak tunjuk hero? Aku bagi peluang dekat kau untuk tumbuk aku dekat sini," cabar ketua mereka yang kemudiannya diselangi tawa mengejek. Jari telunjuk mengunjuk ke pipi kiri, mencabar.
Dia berdecip memandang tiga makhluk di hadapannya. "Jangan nak buang masa aku. Masing-masing boleh datang dekat aku serentak. Biar aku tunjuk neraka dunia tu macam mana, dekat orang 'buta' macam korang ni," balas Izzul rendah namun dapat didengari mereka dengan jelas. Riaknya setenang embun.
Urat mulai timbul di leher lelaki tiga orang itu. Seolah yakin benar lelaki di hadapan mereka yang dia akan menang.
"Bro, kitorang tak cari pasal dengan lu. Bagi perempuan tu dekat kitorang dan lu boleh berambus. Okay?" soal salah seorang daripada mereka namun yang diterima hanyalah kuapan daripada Izzul.
Izzul tayang muka mengantuk sambil mengerling jam di tangan. Kemarahan tiga sekawan itu semakin memuncak.
"Kurang ajar!" jerit salah seorang daripada mereka sebelum menerpa ke arah Izzul.
Kali ini lelaki itu tersenyum penuh makna apabila menerima tindak balas, namun dengan mudah pergerakan musuh dapat dibacanya. Izzul mengelak sedikit ke kiri sebelum penumbuk dilayangnya percuma di bahagian abdomen penyerangnya.
Terkesan dengan perbuatan Izzul, lelaki itu sedikit terdorong ke belakang. Impak yang diterima menyebabkan dia senak. Laju badan dibongkokkan Izzul saat serangan hendap terhadapnya dilakukan.
Kaki kiri meluncur laju melepasi kedua-dua belah kaki sang penyerang. Automatik lelaki itu jatuh terlentang. Melihatkan keadaan kedua-dua konco si penjahat itu. Dia bangun membetulkan posisi. Izzul memandang lelaki pengecut yang berada nun di seberang melarikan diri.
"Dasar otak cetek. Orang macam tu yang kau jadikan sandaran? Aku bagi masa lima minit untuk hilangkan diri daripada pandangan aku. Itu baru sikit, kalau nak lebih..."
Belum pun sempat Izzul menghabiskan kata-katanya, mereka sudah bertempiaran lari. Kening kiri diangkat Izzul tinggi.
"Dasar 'tin kosong'," ucap Izzul sendiri. Dia kemudiannya berpaling. Menapak perlahan ke arah Fiy.
Topi yang tersarung di atas kepala gadis itu dengan selamba diambil semula kemudian disarungkan ke kepala sendiri.
Cas kinetik yang terhasil di antara rambut Fiy dan objek tersebut menyebabkan rambut gadis itu kelihatan sedikit serabai apabila topi lelaki itu ditarik daripada kepalanya.
Tangan kanan dihulur Izzul selamba. Fiy memandang kosong telapak tangan itu sebelum memandang wajah lelaki itu semula. Dia tidak mengerti apa yang diminta lelaki itu. Riaknya kelam menayang jujur rasa hatinya di saat itu.
Izzul naikkan kening kirinya. "Kau ingat ni kebajikan masyarakat? Aku tolong bersebab. Dah. Mana upah aku?"
Melopong mulut Fiy usai menghadam tiap satu kata lelaki itu.
"Saya tak minta awak tolong saya pun! Kalau awak tak tolong pun saya boleh lawan sendirilah. Saya ni tali pinggang hitam, taekwondo tau," Fiy dah mula cuak apabila lelaki di hadapannya itu ketawa.
"Alhamdulillah. Baguslah, paling tidak awak ni ada ilmu seni mempertahankan diri," ujar lelaki itu sebelum menyambung, "Tapi kalau ada ilmu sahaja, tak reti nak guna... baik kau gantung je leher dekat kipas pakai tali pinggang hitam kau tu."
Membulat kelopak mata Fiy, mulutnya yang sudah sedia ternganga kini semakin luas jadinya. Dasar keparat!
Dengan geram Fiy mengeluarkan dua keping not lima puluh ringgit sebelum diletak kasar ke dalam telapak tangan lelaki itu.
"Guna duit ni beli Clorox untuk kau sental mulut kau tu sekali!" balas Fiy geram sebelum melangkah pergi.
Kelibat itu dipandang Izzul dengan pandangan yang sukar diungkap.
'Dia tak sedar ke aku kenal dia?'
Bunyi deraian kaca menyebabkan anak buah Izzul kaget. Masing-masing terdiam melihat keadaan ketua mereka usai dia pulang. Wajahnya tiada belas.
Mangsa tiga orang yang tertunduk takut itu dipandang Izzul penuh amarah.
"Bedebah mana yang suruh kau kacau perempuan tu?" Tengking Izzul tidak terasa mahu bertolak ansur dengan kemarahannya.
Masing-masing menikus, tidak berani bersuara. Wajah diraup Izzul kasar sebelum tangannya mencengkam rambut salah seorang daripada mereka. Mata lelaki itu dipaksa agar melawan pandangan matanya.
"Sekarang bangun, lawan aku. Biar aku tengok sekuat mana kau dengan kawan-kawan kau." Belati dicampakkan Izzul betul-betul di hadapan mereka bertiga.
Butang baju kemejanya dibuka satu per satu sebelum dicampaknya ke tepi. Masing-masing menelan liur melihat betapa seriusnya Izzul di saat itu.
"Syarat perlawanan ni senang. Kita takkan berhenti sampailah salah satu pihak tak mampu untuk bangun lagi."
"Bos!" serentak dua orang pengikutnya menegurnya. Bimbang akan keputusan terburu-buru yang diambil Izzul.
Anak mata Izzul bergerak ke sisi. Memandang mereka berdua. Wajahnya serius.
"Atau kau berdua nak ambil tempat budak bertiga ni?"
Terus gelengan diterimanya sebagai jawapan. Dapat sahaja jawapan daripada mereka. Izzul mencekak pinggang. Kepala diangkat sebelum kelopak mata dipejam untuk beberapa detik. Nafas ditarik lantas dihela perlahan.
"Jadi jangan kacau aku. Aku cuma perlukan tempat untuk hilangkan rasa marah ni. Jangan risau, prinsip aku tetap sama. Membunuh bukan gaya Izzul."
Fiy merenung pelik ke atas but keretanya. Kepala dipanggung memandang kiri dan kanan. Nil. Langsung tiada kelibat sesiapa yang lalu-lalang di situ. Habis siapa yang letak ubat di atas keretanya?
Satu persatu ubat sapu yang terkandung di dalam plastik itu dipandang Fiy hairan. Dia sudah berura-ura mahu membuang ubatan tersebut takut ada sesiapa tercicir tetapi niatnya terbantut apabila ada nota sekeping yang terselit di celahan ubatan tersebut.
'Untuk Fiy. Jangan buang. Rawat luka tu.' -Mr. Luzz.
Dahinya berkerut seribu. Dah hantu mana pula nama Luzz ni?
Dari kejauhan ada mata-mata yang memerhatikan tindak-tanduk gadis itu. Mereka melepaskan keluhan lega apabila Fiy mengambil bersama plastik ubat untuk masuk ke dalam perut kereta bersamanya.
Mereka berdua melepaskan keluhan lega.
"Jangan balik sampai mati kalau dia buang ubat ni."
Suara beku dingin milik Izzul menyelit di ruang minda. Masing-masing meremang teringatkan perangai bos mereka.
"Jay, siapa perempuan tu?" soal si lelaki berkaca mata hitam dengan jaket denim di tubuh.
Teman di sebelah memandangnya. "Aku pun tak kenal sangat. Tapi bos ada sejarah dengan perempuan tu kalau tak silap aku."
Aqif memandang Jay dengan kerutan yang dah mula berlipat. "Perempuan tu pernah jaga bos macam bos jaga kita masa kita jadi anak jalanan ke?"
Bahu dijongket Jay tanda dia juga tidak tahu akan hal sebenar.
"Yang aku boleh agak. Perempuan tu ibarat dunia Izzul. Dia tak pernah bertindak segila tu untuk sesiapa."
Betul. Izzul adalah antara orang yang sukar untuk dicabar kesabarannya tetapi kalau bersangkut dengan gadis itu. Berilah alasan sebanyak mana sekalipun, dia takkan terima.
Rantai berloketkan bunga tiga bulan itu dipandang Izzul lama sebelum dikucupnya perlahan. 'Usai dua belas tahun Fiy, akhirnya aku jumpa kau semula.'
Dia menangis teresak apabila dipukul teruk oleh ayahnya sendiri. Saat itu dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah. Tanpa dia sendiri dapat jangka, di hari itulah dia akan berjumpa dengan gadis tersebut.
Hujan yang tiada petanda mahu reda kini tiba-tiba berhenti menimpanya. Izzul mengangkat pandang. Wajah kecil comel gadis berusia sebelas tahun itu memandangnya dengan sepasang mata jernih.
Payung bersaiz kanak-kanak itu dikongsi bersama. Izzul memandang gadis itu aneh. Dia langsung tidak bersuara. Hanya mencangkung di sebelah Izzul sambil memayunginya daripada ditimpa hujan. Mereka duduk bertentangan antara satu sama lain.
"Kau ni anak terbuang ke apa? Yang dungu sangat duduk dengan orang yang tak dikenali ni dah kenapa?"
"Nama kita Fiy lah. Papa kita dekat hujung sana tengah beli keledek bakar," balasnya polos.
Izzul melepaskan keluhan. "Aku nak sendirian. Dah, pergi balik dekat papa kau. Syuh..." halaunya seolah-olah itu perkara biasa.
Fiy mengembungkan pipi bulatnya yang dah serupa bebola ikan. Dia akhirnya bangun. Payung diletakkan ke bawah, masih melindungi Izzul. Gadis itu sudah basah kuyup tetapi senyuman masih lagi tidak lekang.
"Abang, papa Fiy cakap... hidup boleh beri kita macam-macam bentuk kesusahan. Untuk lihat baik buruk situasi tu bergantung pada kita. Jadi jangan mengalah!" ujarnya ceria langsung tidak peduli akan pakaian sendiri yang dah melekap ke kulit.
Aneh. Orang lain pasti akan lari daripada hujan tetapi gadis itu masih lagi boleh tersenyum walaupun sudah basah kuyup.
Sesaat kemudian gadis itu lari meninggalkannya, tanpa sedar rantainya terjatuh. Izzul bangun untuk mengutip namun saat dia bangun semula untuk memulangkan. Kelibat gadis itu sudah pun tiada.
Itu kali pertama dia rasa ada lagi insan yang masih peduli akan dia. Walaupun dia hanyalah orang asing bagi Fiy tapi hakikat manusia itu. Siapapun kita, kita semua sebenarnya bersaudara. Dia tekad untuk menyayangi gadis itu dalam diam.
Bunyi derap langkah yang tidak ubah persis ribut menyebabkan Izzul mengalihkan pandangan. Wajah-wajah di hadapannya itu kelihatan cemas.
"Bos! Fiy..." ucap Jay tersangkut mengejar nafas. "Fiy kena culik."
Terus terbangun Izzul daripada duduknya. Tanpa banyak bicara jaket dicapai sebelum kunci motor berkuasa tinggi turut dibawa keluar daripada poket seluar.
Manusia-manusia yang mencabarnya itu memang tidak mengenal erti serik bukan?
"Sebab kau, kawan-kawan aku khianati aku." Dagu Fiy dicengkamnya kuat.
Ini dah masuk kali ketiga dia rasa hidup dia malang. Nak kata kaya, rasanya kering juga dompetnya. Tetapi kenapa dia selalu dikacau?
Fiy tayang riak bosan. Seolah-olah situasinya berikat dan dikelilingi oleh orang jahat itu perkara biasa.
'Ini mesti ada kamera tersembunyi dekat mana-mana nak kenakan aku ni.'
"Hoi, aku bercakap dengan kaulah!" Masih dengan riak toyanya Fiy memandang lelaki pendek di hadapannya.
Fiy tarik senyum paksa cuba melayan, "Iya? Kau cakap apa tadi? Maaflah cu, mak cik dah tua."
Teman-temannya yang lain ketawa apabila melihat lelaki tadi dipermainkan olehnya. Merah padam muka lelaki itu. Tamparan kuat hinggap di pipi Fiy tapi masih tiada riak takut yang terpamer. Darah mulai menitik dari pinggir bibirnya. Rasa pejar yang bersisa menyebabkan Fiy tersenyum sinis.
Dia memandang lelaki itu tanpa rasa. "Itu je?"
Baru tangan lelaki itu naik, mahu menghinggap pipi gadis itu. Mereka dikejutkan dengan bunyi rempuhan sebuah motor berkuasa tinggi.
Dek motornya yang mulai tidak seimbang untuk dikawal gara-gara merempuh dinding bangunan usang itu. Izzul melompat turun daripadanya. Membiarkan motor itu terseret ke tepi hampir melanggar sekumpulan manusia yang turut berdiri di situ.
"Kau dah boleh gantung tali pinggang hitam kau tu, Fiy. Sedih cikgu kau kalau tahu anak murid macam ni yang dididiknya. Tiada hasil." Melopong mulut Fiy mendengar mukadimahnya.
Pedas benar ayat lelaki itu. Salam pun tiada, terus 'dipenggal' kepala gadis itu sedemikian rupa.
"Aku dah bagi duit supaya kau Clorox mulut kau, kan?" Kali ini Fiy sudah berapi dengan kemarahan. Sudahlah pijar dipipinya masih menjalar.
Melihat langkah lelaki itu yang semakin mendekat. Makin tinggi rasa di hatinya mahu menghadiahkan lelaki itu dengan flying kick. Biar lelaki itu rasa 'sengat' hasil didikan gurunya.
Fiy meronta mahu dilepaskan. Dia mahu penumbuknya sampai ke wajah lelaki itu. Sekalipun jadilah. Entah macam mana ikatan tali di tangannya terlerai. Terkebil-kebil dia memandang riba. Senyum senget mulai terbit. Matilah kau.
Si lelaki pendek itu terkejut apabila kehadirannya seolah-olah dilupakan. Fiy membuka ikatan kakinya sebelum laju melangkah untuk berdiri setentang dengan Izzul. Matanya bernyala.
"You're dead, young man." Izzul sedikit terkejut dengan tindakan Fiy tapi dia cuba beriak selamba.
"Sure, honey. Itu pun kalau ilmu tali pinggang hitam kau tu masih ada dalam kepala," ujar Izzul sambil menahan tawa. Makin seronok dia menyakat gadis itu.
Sendi-sendinya ditekan untuk menghilangkan lenguh. Penumbuk yang hampir mengenai wajah lelaki itu ternyata tersasar, dia dapat mengelak dengan mudah. Izzul mengenyitkan matanya, masih lagi mahu bergurau.
"Buktikan kebolehan kau dekat aku dengan cara lawan manusia yang dah culik kau ni. Tapi jangan risau. Aku tahu ilmu kau dah berkarat. Jadi aku akan tolong. Lepastu baru kita lawan. Tapi kalau aku menang, kau kena ikut cakap aku."
Fiy mengetap bibirnya geram. Pantas badan dikalihnya. Tajam matanya memandang lelaki yang menamparnya tadi.
Tanpa berfikir panjang laju gadis itu meluru ke arahnya. Dengan sekali lompatan. Kakinya melayang betul-betul di bahagian kepala lelaki itu. Apabila kaki Fiy mencecah kembali ke tanah, masing-masing tergamam. Lelaki pendek itu jatuh terduduk. Berdesing telinganya apabila sepakan gadis itu betul-betul di sebelah telinga kanannya. Dengung mulai mewarna pucat wajah lelaki itu sebelum dia terjelopok ke lantai.
Izzul bersiul sambil mengangkat kening. Fiy berdiri dengan aura mahu meneruskan tekadnya untuk membuktikan dia masih mampu berlawan.
Izzul tertawa sebelum mencampakkan jaket kulitnya ke lantai. Urat di leher dan tangan diregangkannya. "Dah, tuan puteri. Bagi pendekar ni pula ambil alih."
Misi menyelamat akhirnya jadi misi pertarungan siapa kalahkan siapa paling banyak.
"Patut ke kita tolong?" Afiq dah memeluk tubuh memerhatikan bosnya yang seakan-akan seronok benar membelasah orang. Gadis yang asalnya diculik itu pula dah gaya singa jadian.
Jay pandang Aqif. "Siap sedia jadi pengapit je lah Aqif."
Aqif mengangguk setuju. Masih lagi memerhati dari kejauhan melihat dua orang itu berlawan tanpa henti.
"Fiy, tunduk," arah Izzul. Sebaik sahaja gadis itu akur. Penumbuknya singgah tepat di wajah lelaki yang mahu menyerang Fiy dari belakang.
Fiy juga tidak kurangnya. Dia menggunakan kekuatan kaki dan pertahanan tangannya untuk berlawan.
Dagu lelaki yang menerpa ke arahnya dilibas menggunakan front kick.
"Fiy, bagi aku habiskan manusia-manusia ni." Fiy menjeling Izzul sekilas. Musykil.
"Apa? Supaya kau boleh peras ugut aku lagi? Aku dah tak ada duit. Dah pergi main jauh-jauh. Biar aku habiskan 'rakun-rakun' tak guna ni, " ujar Fiy namun hanya keluhan dibalas Izzul.
"Aku guna duit kau untuk beli ubatlah. Marah lagi ke?" Terkesima Fiy sekejap.
Leher lawannya dicekak Izzul. Melihatkan lelaki itu yang hampir putus nafas. Izzul mencampaknya ke sisi.
Belakang badan yang ditumbuk tanpa punca menyebabkan Izzul menyeringai kesakitan. Laju Izzul mengeluarkan pistol dari poketnya. Lalu diacu ke arah gerangan dibelakangnya tanpa memandang walau sekilas.
Saat wajahnya dipalingkan, Izzul terkejut apabila mulut pistolnya mengacu ke arah gadis itu. Jay dan Aqif yang melihat babak itu dari kejauhan terasa sesak nafas. Dah gaya sinetron!
Masing-masing tergamam. Fiy memandang Izzul. "Aku suruh kau beli Clorox untuk sental mulut kau, kan?" marah Fiy. Okay... mungkin dia pun perlu sental mulut sendiri.
Pandangan Izzul bertukar lembut. Jasad-jasad yang sudah bergelimpangan dikerjakan mereka berdua tidak berani mahu bangun untuk melawan. Akhirnya semua akur terbaring di atas lantai.
Melihatkan Izzul yang masih diam, Fiy akhirnya bersuara. "Aku menang."
Izzul tersentak. Jadi tumbukan itu adalah daripada gadis itu? Dia menarik senyum segaris.
"Tak. Kau kalah. Sebab kalau aku tarik picu pistol ni, kau mati."
Fiy mencebik geram.
'Ingat senang-senang aku nak bagi kau menang?' soal Izzul di dalam hati.
Dia merengus kasar sebelum melawan pandangan Izzul. "Ye lah! Kau nak apa?" tanya Fiy.
Izzul melepaskan genggamannya dari sepucuk pistol yang dipegang. Membiarkan objek tersebut menyembah lantai bumi. Anak mata menusuk dalam ke dasar hati Fiy melalui dua kolam matanya.
Dia berdiri bertentangan dengan Fiy. Memandang gadis itu lama.
"Aku nak kau jadi suri hati aku yang sah."
Fiy tergamam. Jay dan Aqif sudah terlompat-lompat menahan jeritan. Siapa sangka bos mereka yang hati kering itu ternyata boleh jadi seagresif itu?