“Co! Tunggu sekejap! Berdiri dekat situ. Jangan bergerak,” arahnya mandatori. Co yang jelas terkejut dengan suara lantang yang tiba-tiba menerjah masuk ke dalam corong telinganya serta-merta menghentikan langkah, berdiri lurus persis patung. Perlahan-lahan badan dikalih ke belakang untuk berdiri bertentangan dengan insan yang menerjahnya. Riak jelas tidak berpuas hati dengan arahan tersebut langsung tidak disembunyikan Co. Matanya dingin memandang gadis tersebut. Kepala dilentokkan ke sisi kanan.
Kelihatan En memegang bingkai pintu dengan tangan kanan. Ruang hadapan kafe dipandang En sekilas, hanya mahu memastikan suasana semuanya di dalam keadaan terkawal. Anak mata kembali dipanah ke arah Co yang kejung beberapa jengkal daripadanya. Kalau lelaki itu singa memang silap haribulan En bakal dibahamnya tanpa berfikir dua kali. Untung sahaja dia manusia dan bukan kanibal.
Muka Co yang memang dah sedia tegang dipandang En walaupun hampir suku wajah lelaki itu terkatup dek rambut. Rasanya tadi dia dah pun berjaya merangka ayat untuk diutarakan kepada lelaki itu tetapi apabila berdiri berdekatan, mindanya terus kosong tidak dapat menapis ayat yang sewajarnya diutarakan. Sebaliknya kini Co dibandingkannya dengan muka singa.
Co menyentakkan dagunya ke atas dengan tangan bersilang ke dada. Memberi isyarat kepada En untuk menyambung kata sebelum dia naik hantu.
Tersentak. En menggeleng-gelengkan kepala sebelum menarik nafas dalam. Anak mata yang awalnya jatuh pada papan muka Co, tiba-tiba tak cukup daya nak terus bersabung pandangan.
“Errr… ke… kenapa kau tak beritahu aku yang kau sebenarnya tak boleh bercakap?” soalnya langsung tanpa dalih. Kali ini anak matanya dibawa ke sisi, memandang ke arah lain selain makhluk yang satu itu.
Kening kiri diangkat Co, Rahangnya bergerak-gerak sebelum gigi diketap kuat. Malas mahu melayan, tangan laju mengeluarkan buku memo kecil yang sentiasa dibawanya ke mana-mana. Pen yang tersarung di atas cuping telinga ditarik sebelum muncung tajam pen tersebut berlari di atasnya. Usai menulis, Co mengangkat kertas memo itu untuk dibaca En.
‘Kalau aku bagitahu pun apa kau boleh buat? Bagi aku suara kau?’
Co tersenyum mencabar dan persis yang dia dah bayang. Wajah itu juga yang orang sekelilingnya akan tayang. Riak simpati. Reaksi yang paling dia tak mahu lihat sebenarnya.
Disebabkan sikap Co yang memang lumrah untuk jadi terlebih ego bagi melindungi diri sendiri, dia jelas mahu menolak En jauh agar gadis itu tidak perlu masuk ke dalam dunianya. Tetapi disebabkan seharian dia bekerja. Dia jadi malas mahu menunjukkan durinya. Malas mahu bertekak. Bukan malas, memang tak boleh pun. Tanpa menunggu balasan daripada En. Dia akhirnya mengambil langkah menapak keluar. Elli diisyaratkan Co agar masuk ke dapur untuk menggantikannya sebentar. Lemas rasanya kalau duduk sekali dengan En.
Planner dibaling ke bahagian tengah meja bulat tempat biasa pekerja-pekerja di situ melepak. Langit luar masih lagi gelap, bahkan azan subuh pun belum lagi berkumandang. Pastinya belum waktu operasi kafe tersebut. Tetapi lima orang insan yang bekerja di situ dah pun tercongok di sekeliling meja bulat semata-mata mahu menjayakan misi tanpa permit mereka itu.
En pandang Eddy, si mastermind yang berdiri tegak di sebelahnya dengan muka mengantuk. Ada jugalah selain dia yang tersengguk-sengguk hampir mencium muka meja. Hanya Eddy yang kelihatan segar, bulat matanya dek rasa teruja.
“Azam… Elli… bangunlah. Pak cik mastermind dah sampai.” ujar En menahan kuap. Bahu Elli digoyang-goyangkan sedikit untuk mengejutkannya.
Tangan diseluk Eddy masuk ke dalam poket seluar. Dia menggeleng sambil tersenyum.
“Aku nak bahagikan tugas.”
“Hmm…,” acuh tak acuh balas mereka semua serentak. Masing-masing lebih memilih melayan kantuk berbanding Eddy.
“Tapi nak bagi adil dengan muka masing-masing yang mengantuk ni, aku cadang kita main batu gunting kertas. Boleh?”
“Lah… untuk apa pula?” sampuk Azam berbaur geram.
Eddy senyum penuh makna. Lain macam pula mereka melihat senyuman lelaki itu. Tegak bulu roma jadinya. Gara-gara tidak mahu terlibat dengan bayangan pelik-pelik Eddy yang mereka langsung tidak dapat jangka. Aiman akhirnya bersuara memberi cadangan.
“Kalau buat cabutan tak boleh?”
Terkebil-kebil Eddy pandang wajah Aiman sebelum mengurut muncung dagunya. Berfikir.
“Cadangan yang menarik. Kaedah tu lebih praktikal aku rasa.”
“Memang pun,” jawab En dan Suraya.
Eddy akhirnya bersetuju. Dia mengambil kertas kosong di dalam fail. Menulis beberapa perkataan sebelum menceraikan kertas tersebut kepada beberapa bahagian lantas digulungnya.
Genggaman dilepaskan. Bergolek kertas-kertas kecil yang telak dicarikkan Eddy. Enam pasang tangan lantas diluruskan mengambil satu gulungan sebelum dibuka.
“Buka topi Co pun jadi kerja?” tanya Aiman. Sah itu kerjanya.
Laju Eddy mengangguk. Mengatakan tugas itu penting kerana Co peka orangnya. Silap langkah memang maut jawabnya. Eh, sekejap! Pakatan yang mereka buat ini pun dah melangkah ke gerbang teluk naga sebenarnya.
Suraya kerling tulisan dalam kertas Elli. Manakala Azam pula dapat membaca kertas milik Suraya yang berada bertentangan dengannya, terhampar di atas meja.
“Eh? Aku, Suraya dengan Elli dapat tugas yang sama. Jaga kawasan keliling dan ambil alih tugasan dekat kedai.”
Eddy mengangguk. Dikerlingnya En yang dah macam tugu tak berkutik. Sah dia dapat bahagian yang paling menakutkan. “En dapat apa?”
Lima pasang mata terarah ke arahnya.
Pipi dikembungkan En. Cuba meraih simpati. Kertas di tangan diangkat sebelum dia turut bersuara, “Gunting rambut depan dia.”
Aiman, Azam, Suraya dan Elli yang mendengar menarik nafas lega apabila tugas tersebut jatuh ke bahu En. Tiada sesiapapun yang ingin menukar skop tugasan mereka dengan En.
Tangan ditepuk Eddy sebelum mengangguk. “Pembahagian tugasan selesai.”
“Eh, sekejap! Kau buat apa?
Eddy pandang Azam yang terkebil-kebil memandangnya. Bahu diangkat naik untuk sesaat. “Akulah yang akan trimmed rambut Co dengan penuh gaya nanti. En cuma akan merasmikan. Aku akan habiskan semua yang kita dah mulakan ni. Jangan risaulah, aku ni Edward Scissorhands 2.0”
Ibarat ada gagak lalu di atas kepalanya. Mereka memandang Eddy dengan pandangan penuh musykil.
Seakan-akan tahu apa yang bermain di minda remaja-remaja di hadapannya itu. Eddy hadiahkan sengih lebar. “It’s time to melt the ice. Co tu budak baik, dia takkan berdendam punya. Apatah lagi dengan aku. Sense of respect to elders dia tu lagi kuat dari orang lain. Jadi tak perlu risau.”
“Eddy, ulang balik boleh?”
“Kenapa?”
“Aku nak rakam bahagian kau mengaku kata kau dah tua,” suara Aiman sebelum tertawa. Manakala, yang lain-lain juga turut tersipu menahan gelak. Dalam gelak-gelak mereka, masing-masing berharap agar niat ‘murni’ mereka berjalan lancar. Moga-moga rambut Co tu nanti tidak tertukar keluar rupa Wolverine sudahlah.
No comments:
Post a Comment