Anak mata hitam sekejap mengarah ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Tangan masih lagi laju menyudu sup cendawan dari dalam mangkuk langsung masuk ke mulut. Kak Ika dah mula angkat kening kiri seraya menala pandang tepat ke muka En. Ibunya pun dah mula pandang dia ala-ala penjenayah bersiri. Masing-masing menunggu kata putus dari gadis itu
Nafas dah mula rasa sesak, rimas dengan aura dua orang insan di hadapannya. Dalam kegigihan menahan segala rasa lemas itu akhirnya dia tewas juga akhirnya. En meletakkan sudunya kembali ke dalam mangkuk sebelum mengangkat pandang. Dua raut wajah di hadapannya dipandang bersilih ganti
“Ibu… orang tengah demam ni, esok-esoklah bincang,” rengeknya memohon simpati. Penat nak dikerah otak untuk berfikir pada waktu-waktu sebegitu.
Kak Ika mencebik. “Mengada aje lebih. Dah kebah pun kan?”
Dia pandang Kak Ika dengan rasa tak puas hati. Habis tu yang dia berselubung bawah selimut kalah orang eskimo ni buat apa? Pameran? Tajam En mencerlung memandang kakaknya sebelum menggaru laju kepala sendiri.
“Haishh… iyelah! Lusa adik pergi kafe tunang akak tu,” ucapnya paksa rela. Malasnya memang usah disebut.
Selang beberapa saat dua orang di hadapannya itu, masing-maisng menghela nafas lega. Kak Ika dah mula tarik senyum meleret. Senang hati.
Buat kesekian kalinya En hirup sup dari dalam mangkuk yang masih lagi bersisa. Perlahan ibu tepuk bahunya. “Tak salah paksa diri untuk tolong orang, dik. Lama-lama datanglah ikhlas tu. Datanglah seronoknya. Faham?”
Sebersalah En pandang anak mata ibunya sebelum mengangguk mengiyakan.
Memanglah sekarang dia banyak masa lapang sementara menunggu tawaran untuk sambung pengajian tapi yang dia tak fahamnya kenapa Kak Ika dengan ibunya beriya sangat nak dia kerja dengan Abang Iz dekat kafe dalam tempoh tu? Sebab Abang Iz dah nak bankrup ke? Lepas tu pekerja dia lari sebab gaji tak dibayar dan sekarang dia mohon dekat Kak Ika supaya En jadi buruh paksa tanpa rela dekat kafe dia pula. Habislah.
Laju kepala digelengkan ke kiri dan kanan apabila tersedar daripada andaian merapunya itu.
“Hoih! Kalau kau fikir benda pelik-pelik lagi pasal Abang Iz, siap kau!” Kak Ika bersuara sambil mengacukan penumbuknya ke wajah En.
“Eh? Motif sangatlah nak fikir pasal tunang dia tu.” Mata dijulingkan tinggi ke langit. Walhal hati dah berdetak semacam. Macam tahu-tahu je En tengah buat teori panjang-panjang pasal Abang Iz.
Kak Ika tarik senyum segaris seperti selalu. Pinggir bibir makin tinggi pula tersungging. “Dah tu yang berkerut semacam dahi tu kenapa? Fikir apa?” soalnya.
“Ummm… tengah fikir macam mana nak ‘pau’ Kak Ika dekat Kinokuniya esok. Dah janji kan? Jangan berani-berani nak tarik balik. Faham?” En pula mengambil giliran tersenyum jahat ke arahnya.
Kak Ika dah berura-ura mahu memulakan operasi mencekik namun belum sempat apa-apa, En dah buat gulingan terjun katil untuk selamatkan diri terlebih dahulu. Langkah yang dibuka jadi terbantut apabila tiba-tiba ada suara latar Bahasa Jepun yang melantun ke segenap penjuru bilik. Deringan telefon bimbit Kak Ika makin bingit kedengaran meminta agar diangkat.
Terkebil-kebil En seketika. Masih lagi cuba mencerna keadaan sebelum mencebik, “Cik abang kesayanganlah tu. Heh!” Dah tahu sangat telefon siapa yang berbunyi kalau lagu Jepun berdendang rancak sebegitu.
Kak Ika memanjangkan tangan mahu mencubit lengan En sambil tangan kirinya mencapai telefon di meja sisi.
Terkekek-kekek En ketawa apabila berjaya menepis tangan yang tergawang-gawang di udara mensasarkan lengannya.
“It fits you very well, sis. Iz, Ika rasa Ika patut cuba satu,” komen Kak Ika seraya menyandarkan belakang badannya ke kerusi.
Iz mengangguk seperti burung belatuk. “Yes, indeed. It does look good on her but absolutely not on you,” sakatnya sebelum ketawa besar. Kak Ika mencerun geram memandang encik tunang di sebelah.
En jongket kening kiri tinggi. Riak toya terzahir jelas diwajahnya tetapi tetap juga dua insan itu tidak menyedarinya ‘Dah mula ke drama sebabak seposen dua ekor makhluk ni? Oi… oi… aku dah penat jadi tugu berdiri terpacak nak dekat sejam jadi model apron tanpa rela. Tahulah nak cuba apron baru tapi ini pakatan nak membuli aku ke apa? Tiba-tiba kena tarik jadi tikus makmal.’
Beberapa orang yang terhendap-hendap dari balik dinding dikerling En apabila dia dapat mengesan pergerakan dari ekor mata. Menyedari perubahan riak En, pantas Iz dan Kak Ika menoleh ke arah yang sama.
Iz tersenyum sebelum menggamit semuanya agar datang mendekat. Tersipu-sipu mereka beratur persis anak-anak prasekolah. Terkebil-kebil En pandang wajah mereka satu per satu.
‘Ini dah kenapa gaya macam tak pernah tengok orang ni?’
“Okay!” suara Iz menyentakkan En untuk kembali fokus pada alam realiti. Tersengih kelat dia jadinya. Kak Ika memberi isyarat mata menyuruh adiknya menjaga adab apabila berhadapan dengan orang lain. En yang perasan akan lirikan mata kakaknya pantas menjegil geram. Mulut terkumat-kamit mencabar kakaknya supaya memaksa dia berbuat demikian.
“Dari kiri… di sini kita ada Azam, Suraya, Elli, Aiman, Eddy dan yang terakhir tetapi tidak dilupakan, Co.” Satu persatu wajah baharu di pandangan En diperkenalkan Iz. En tatap lama wajah di hadapannya itu untuk diingati. Belum sempat dia hendak membuka suara memperkenalkan diri, Iz terlebih dahulu mencelah.
“Ika… tolong heret adinda kesayangan awak ke dapur sekarang, ya? Yang lain dah boleh sambung kerja. Suraya je ikut Iz untuk tunjuk apa-apa yang patut pada budak pendek seorang ni.” Membulat mata En apabila Iz dengan selamba berkata demikian tentangnya.
Kak Ika sudah tersenyum menahan tawa apabila adiknya mulai menayang mimik muka tidak puas hati pada bakal abang iparnya. Dalam hati En dah berbakul-bakul mengutuk Iz, ‘aku senarai hitamkan dia dari jadi bakal abang ipar aku nanti baru dia tahu aku ni pendek ke tinggi.’
Dalam pada En menyumpah seranah bakal abang iparnya di dalam hati. Mata hitamnya secara tidak sengaja tertancap ke arah seorang lelaki paling hujung. Pekerja Iz yang lain-lainnya sudah mengambil langkah untuk bersurai kecuali lelaki itu. Entah kenapa En juga terpaku melihatnya. Segak? Jauh panggang daripada api.
Untuk seketika suasana seolah-olah sepi.
En pandang lelaki yang dipanggil Co itu atas bawah. Ini bigfoot versi tiny man ke apa ni? Masya Allah dengan rambut depan kalah tirainya. Nampak jalan ke dia nak melangkah ke depan? Ajaib pula En rasakan jika Co berjalan tidak tergolek terjelopok ke tanah. Topi yang tersadai atas kepala Co turut ditenung gadis itu tidak berkelip.
‘Dah serupa terung. Pfft! En… betulkan niat. Kau datang sini nak tolong orang, jaga sikit adab tu.’ Mulutnya pantas ditekup menahan tawa. Mahunya kena pelangkung dengan Iz dekat sebelah kalau terkantoi dia tengah mengutuk pekerja bakal abang iparnya itu.
“Oh, sebelum tu! Satu lagi, sudi tak ajar dia resepi rahsia...” En dipandang Co tanpa reaksi yang memberangsangkan. Belum pun sempat Iz menghabiskan ayat, Co terlebih dahulu menggeleng. Menolak mentah-mentah tawaran yang disajikan Iz. En mengangkat kening kiri dan kanan.
Ini kifarah sebab kutuk dia dalam diam ke apa ni? Iz dijeling En sekilas dan hanya bahu dijongket Iz tanda jawapan Co memang tidak boleh diubah. ‘Amboi… tinggi daulat kau dekat sini nampaknya, Co?'
No comments:
Post a Comment