Tuesday, 20 August 2019

De Anne (Bab 2)


Termangu sendiri En duduk di atas bangku berdekatan meja bulat di satu penjuru berdekatan dengan kaunter. Dah hampir genap dua minggu. Jam besi berjenama Alba yang terlilit di pergelangan tangan dikerlingnya. Hampir nak masuk empat belas hari lima jam tiga puluh minit dua puluh lima saat! Sudahlah dia diarahkan untuk bertugas bergandingan dengan Co di kafe itu. Tetapi sehingga ke hari itu sepatah pun Co tidak bercakap dengannya. Nampak Si En itu pun dah dijelingnya tajam kemudian menonong menghayun langkah. Teringat pula peristiwa beberapa hari yang sudah.

“Hi! Co, kan? Saya dah kenal dengan staf kafe yang lain kecuali awak. So, here I am. Nurul Hanna Dhamirah nama diberi,” tegur En ramah dengan senyuman lebar hampir mencecah telinga apabila dilihatnya Co sedang berehat di ruangan yang Iz sediakan buat pekerja kafe.

“Umm… boleh panggil saya En. Bunyinya sepatutnya ikut ejaan A.N.N.E tapi panggil je En. Jadi, nama awak?” Co pejamcelikkan kelopak mata memandang gadis di hadapannya sebelum menunjukkan riak tidak berminat seraya bangun dan berlalu pergi tanpa sepatah kata. Kaku En di situ. Terasa mahu meletup dia dibuatnya apabila dipulau secara terang-terangan. Tapi itu cerita lalu, cerita sembilan hari lepas.

“Hoih! Berangan,” sergah Azam dengan tangan yang sudah melekap pada permukaan meja. Dia pandang En dengan wajah ceria walaupun mimik muka insan di hadapannya itu langsung tidak ubah seperti arnab tidak makan seminggu. Kelat.

En balas pandangan Azam terhadapnya dengan muka tiada perasaan. Tiada keinginan mahu dilayannya Azam yang suka benar menyakatnya itu. Selang beberapa ketika keluhan dilepaskan En sedang Azam masih lagi memandangnya tidak lepas.

“Kenapa?” soal Azam sebelum melabuhkan duduk betul-betul bertentangan dengan tempat duduk En. Tangan ditongkatkan ke dagu. Sepenuh perhatian diberikan kepada gadis itu

“Co memang macam tu ke?” tanya En kembali tanpa berdalih. Pandangan dibiarkan lepas memandang langit melalui pintu masuk kafe yang sedikit terbuka. Dia memang begitu. Suka bergaul dengan orang sekeliling dan jika dihiraukan mulalah segala benda dirasanya tidak kena.

“Macam mana apa? Maksud kau?” Azam pandang En dengan dahi yang sudah berkerut seribu.

En menggaru pelipis yang tidak gatal. Kepalanya sedikit menekur. “Macam tulah. Tak bercakap dengan orang… dekat sikit lari,” balas En sambil menduga jawapan yang bakal diberikan Azam.

Memahami maksud yang cuba disampaikan En, Azam tidak dapat menyembunyikan riak terkejut daripada terus menghiasi wajahnya. “Takkan Iz tak bagitahu apa-apa tentang Co dekat kau?” soalnya hairan.

Kening En hampir bercantum. Terasa pelik dengan jawapan yang diberikan Azam padanya. Pejamcelik dia pandang muka meja seolah-olah meja tersebut bakal tumbuh tanduk. Namun dia hanya mendiamkan diri, memberi ruang untuk lelaki itu menyambung patah kata.

“Co tu dia… umm… macam mana nak cakap ni. Dia… mute sebenarnya. Dia… bisu?” jawab Azam dengan nada rendah. Anak mata meliar memandang keliling risau andai ada yang memasang telinga mendengar perbualan mereka.

Kepala dipanggung. En tayang riak kelam masih lagi tidak memahami situasi sebenar. Huh?

Bibir dikemam Azam sedikit sebelum dia bersuara lagi, “Dia macam tu sejak lahir kalau tak silap aku,” tambahnya. Wajah terasa membahang tanpa sedar. Pipinya merona kemerahan gara-gara malu. En dah rasa dunianya tidak berpusing untuk seketika.

‘Ya Allah! Teruknya aku, fikir yang bukan-bukan walhal hujung pangkal langsung tak tahu.’




En mengelamun jauh. Masih pening memikirkan cara yang betul untuk memohon maaf pada Co. Kain lap meja di tangan digunakan untuk mengelap permukaan rata meja. Entah berapa kali bulatan dia buat pun dia tak sedar. Yang pasti proses yang sama berulang. Azam yang perasan akan tindak-tanduk En pantas menyiku Eddy di sebelahnya. Terkejut dengan perlakuan Azam, Eddy automatik kalihkan kepala ke arahnya. Tanpa memandang Eddy, lelaki itu menjuihkan mulut ke hadapan mengisyaratkan Eddy supaya memandang teman sejawat mereka yang dah jauh melayang fikirannya.

Eddy dengan rela mengalih pandang ke arah yang sama. Kelihatan En yang masih lagi mengelap muka meja dalam bentuk bulatan berulangkali persis robot. Dahinya berkerut. “Kenapa dengan En?”

Azam menjongketkan bahu. Pasu kecil yang menempatkan bunga orkid plastik ditariknya sebelum dia menguis-nguis lumut palsu di dalam pasu tersebut.

“Sebab Co mungkin?”

Kepala dialihkan menghadap Azam pula. “Co?”

“En tanya aku tadi kenapa Co macam dingin dengan dia. Aku cakaplah sebab Co tu… ‘macam tu’. Sebab tak nak dia terasa hati. Tapi hakikatnya Co tu dengan sesiapapun macam tu. Jangan cakap En, kita pun sama je. Kebelakangan ni je dia macam okay sikit.”

Mendengarkan jawapan Azam, Eddy terdiam untuk seketika. Betul. Co memang begitu tapi bukan salah dia kalau dia tak percayakan orang sekeliling, terutamanya orang yang dia baru atau langsung tak kenal. En pun boleh dikatakan termasuk dalam kategori orang asing bagi Co. Jadi tak pelik pun sebenarnya kalau orang introvert seperti Co punya sikap yang sedemikian.

Co yang mengambil pesanan pelanggan dipandang Eddy pula. Wajah lelaki itu masih sama seperti kebiasaan. Tidak beriak. Nafas dihela perlahan. Bukan salah En juga dah kalau dia merupakan seorang gadis extrovert yang memang sikapnya suka beramah dengan orang termasuk Co. Tapi untuk diketemukan dua dunia itu ibarat menuang air ke minyak.

Tanpa menghiraukan Azam yang masih lagi leka bermain dengan hiasan meja, Eddy mengorak langkah ke arah En. Walaupun jarak mereka hanya sedepa, En tidak juga keluar daripada dunia lamunannya. Tangan dimasukkan Eddy ke dalam poket. Masih memerhatikan gadis itu tanpa lepas. Kalau dibiar Si En begitu, boleh haus muka meja kayu itu dibuatnya.

“En, jom kita buat pakatan.”

En tersentak kembali ke masa kini. Spontan kepala dihalakan ke arah bunyi yang menyusup ke dalam corong telinga. Kelihatan wajah Eddy sedang mengangkat kening sambil tersenyum jahat.

Telinga lintah dua orang yakni Suraya dan Elli yang memang berdiri berhampiran dah pandang satu sama lain sebelum turut berkerut mencuri pandang ke arah Eddy. Sedang En tayang riak tidak faham. Mereka berdua pula memanjangkan leher mahu mendengar kata-kata Eddy yang seterusnya.

“Aku kan ada kuasa veto juga sepanjang ketiadaan Iz dekat sini. Makanya aku tengah rekrut kau sekali untuk pelan jahat aku ni. Yang lain-lain dah setuju. Ni tunggu keputusan kau je,” kelentong Eddy.

Walhal yang baru tahu tentang rancangan tersebut hanyalah En. Jadi tak peliklah kalau Suraya dan Elli dah tergeliat leher lipat maut memandang ke arah mereka. Sebab masing-masing memang belum bersetuju. Pelannya apa pun mereka tidak tahu. Tapi bibir tetap juga dikunci rapat.

“Apanya?” kedengaran suara En bergema, menyoal.

“Kita tebang rambut Co, nak? Aku ada pelan baik punya.” Sengih Eddy kian melebar.

Membuntang mata En. Langsung tidak menyangka permainan Eddy terhadap Co. Suraya dan Ellie juga dah terbatuk-batuk. Tersedak air liur sendiri.

Kelihatan En sedang memikirkan ajakan Eddy. Gadis itu mengiringkan badan ke sisi. Memudahkan dia mengamati penampilan Co tanpa perlu dia pusingkan kepala. Dia berkira-kira sebentar sebelum memandang Eddy yang jelas menanti dengan setia jawapannya.

“Okay.”

“En!” suara Elli dan Suraya serentak. Terkejut dengan keputusan En.

En pandang mereka sebelum menjongketkan bahu. ‘What? Seronok apa. Tak ke? Muahahaha.’ 

Niat mahu berkawan dengan Co secara aman dan damai dah melayang entah ke mana.

No comments:

Post a Comment