Thursday, 22 August 2019

Aku... Ben (Fasa 1)


Fasa 1

Bunyi titisan air yang jatuh dari langit gua terus ke sungai cetek yang bergenang, bergema di segenap ruang. Kelopak mata lelaki itu semakin lama semakin layu. Badannya yang sudah selamat mendarat di atas batu rata terasa amat selesa dengan suhu nyaman sedemikian.
Muzik alam yang mengiringi membuai rasa kantuknya. Namun, selang lima minit dia memejamkan mata. Dia membuka semula kelopak mata. Tidur lelaki itu jadi terganggu apabila seekor will-o'-the-wisp kecil bercahaya menarik pipi kiri Ben dengan tangan kecilnya. Rambut perak lelaki itu memantulkan malap cahaya daripada badan wisp. Ben memandang will-o'-the-wisp itu dengan malas.
"Apa lagi?" soal Ben sebelum bangun untuk duduk, mengambil sila.
Wisp kecil sebesar tapak tangan itu terbang ke hadapan wajahnya.
"Ada orang masuk ke gua ni," ucapnya dengan nada bisikan seperti kebiasaanya kepada lelaki yang masih lagi menayang riak kosong.
Tangan ditongkat malas ke dagu. Kali ini Ben memejamkan mata dalam keadaan duduk. "Tujuan mereka ke sini? Budak-budak perkhemahan lagi ke?" soalnya acuh tak acuh.
Ben bukanlah manusia walaupun rupanya persis makhluk itu. Dia sendiri pun tidak pasti dia tergolong sebagai spesies yang mana satu. Dia tidak pernah tahu asal usulnya. Yang dia tahu cumalah hakikat yang dia tidak boleh dilihat manusia dengan mata kasar mereka dan yang menjaganya selama ini adalah makhluk kecil itu.
"Mereka cari kau," ujar wisp itu dengan suaranya yang sentiasa terzahir dalam bentuk bisikan.
Ben tarik pinggir bibir sebelum lambat-lambat membuka mata. Dia memandang langsung ke arah satu-satunya teman yang dia ada sepanjang hayatnya itu.
"Menarik."



Warna kulit Ben cerah, sedang korneanya berwarna biru laut. Sebiru cahaya wisp yang sentiasa menemaninya itu. Gigi taring yang terletak cantik di antara baris giginya atas dan bawah menambahkan lagi seri wajah setiap kali dia tersenyum. Sayangnya, tiada sesiapapun yang mampu menatap keindahan ciptaan Tuhan yang satu itu.
Sudah bertahun lamanya Ben menghuni gua itu. Dia sunyi. Satu-satunya kawan yang dia ada sepanjang hayatnya hanyalah wisp kecil itu. Lama dia mempertikai takdir tentang kewujudannya. Itu dahulu, kini dia lebih matang untuk menerima. Menerima yang dia hanya ditakdirkan untuk sendiri.
Setelah beberapa lama dia tinggal di dalam gua itu. Dia sendiri berikrar untuk menjadi penjaga gua tersebut. Setiap kali ada rombongan yang datang ke gua tersebut, Ben akan sentiasa berdiri dekat dengan mereka. Berharap agar mereka mampu merasai kehadirannya tetapi hampa.
"Kau yakin ke dekat sini ada 'benda'?" suara salah seorang daripada mereka menyebabkan tumpuan Ben kembali semula ke realiti.
Wajah-wajah di hadapannya itu dia pandang dengan dahi yang berkerut. Pandangan lantas ditala ke arah wisp.
"'Benda' apa yang dimaksudkan?"
Wisp yang memahami persoalan di benak Ben kemudiannya bersuara, "Mereka semua merupakan pemburu makhluk halus. Jadi tujuan mereka ke sini adalah untuk mencari kewujudan paranormal dalam gua ni."
Kening Ben spontan ternaik sedikit daripada posisi asal. Gerahamnya ditekan untuk seketika.
"Maksudnya mereka ingat aku ni hantu?" tanya Ben dengan nada tertahan.
Wisp itu mengembungkan pipinya sebelum mengangguk mengiyakan. Ekornya digoyangkan ke depan dan ke belakang.
Ben menggaru hujung keningnya yang turut berwarna perak. 'Tak ke biadap namanya tu bila jadi tetamu, tapi sewenang-wenangnya mereka memanggil penjaga gua itu hantu?'
Tangan kanan diangkat Ben, bersedia untuk memetik jarinya. Seolah-olah memahami tindakan Ben yang seterusnya, wisp terus menghalang tindakan lelaki itu.
Pergerakan Ben jadi kaku untuk seketika. Ya, dengan sekali petikan lelaki itu boleh mengawal kelajuan angin dan pasang surut air di dalam gua tersebut. Itu kelebihan yang telah Tuhan berikan kepadanya.
Niat di hati Ben hanyalah untuk menghalau 'tetamu' yang datang tanpa undangan di situ tetapi jadi terbantut pula semuanya apabila wisp kecil itu menarik kolar bajunya. Memberi isyarat supaya dia tidak tunduk dengan kemarahannya sendiri.
Pandangan dijatuhkan ke arah makhluk kecil itu. Baru Ben mahu bersuara menyoal tindakan wisp. Makhluk itu terlebih dahulu meningkah. "Jangan... sebab salah seorang daripada mereka akan mati di dalam gua ini dan orang tu boleh nampak kau, Ben."
Bukaan kelopak mata lelaki itu jadi bertambah diameternya.
"Salah seorang daripada mereka boleh nampak aku?"



Ben berdiri statik di sebelah salah seorang tetamunya itu. Mengikut kata wisp, lelaki dengan jumper dan beanie berwarna merah itu mampu melihatnya tetapi berlakon seolah-olah tidak dapat melihat apa-apa.
"Jadi hijab kau dah terbuka ya?" soal Ben tanpa mukadimah. Tangan disilangkannya ke dada selamba.
Lelaki yang tadinya beriak tenang kini mulai berpeluh mendengar soalan Ben. Dia masih berlagak seolah-olah tidak mendengar apa-apa tetapi Ben lebih cekap menangkap perubahan riak lelaki yang sudah melangkah menjauhinya itu.
Badan si teman dicuit lelaki itu sebelum dia menggawangkan tangan ke udara. Berkomunikasi dengan seorang lagi manusia. Kening Ben kiri dan kanan bertemu. Aneh melihat perlakuan lelaki itu. Dia... bisu?
"Mana boleh, Daus. Daripada jauh kita datang. Takkan nak balik dengan tangan kosong?"
Ucapan lelaki yang dicuit Daus sebentar tadi menambahkan lagi kerutan di dahi Ben.
Ben dan kawan Daus itu masing-masing kelam tidak faham punca dengan sikap Daus.
"Dia tahu."
Ucapan wisp yang menari-nari di atas kepala Ben menyebabkan lelaki itu pantas menangkap makhluk di atas kepalanya sebelum dibawa ke hadapan wajah. Memberi isyarat supaya ucapan tadi diterangkan lebih lanjut.
"Ada bencana besar yang akan berlaku dalam gua ni."
Selang beberapa ketika, Ben merenung lama ke dalam perut gua yang gelap tanpa cahaya. Telinganya menangkap bunyi air yang menderu laju ke arah mereka. Semakin lama semakin kuat. Ben tahu dia tidak mampu mengawal air yang menuju laju ke arahnya itu.
Sepantas kilat dia menoleh ke arah Daus dan teman-temannya yang masih terdiam kerana gegaran yang dirasai. Anak mata Daus dan Ben bertemu.
"Lari!"



Ben berdiri di tengah-tengah batu besar yang membelah aliran air yang mulai mereda. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan memandang manusia-manusia yang bergelimpangan tidak sedarkan diri berhampiran dinding gua. Kamera dan segala peranti elektronik yang dibawa mereka juga telah musnah.
Wisp melabuhkan duduk di atas bahu Ben, turut memandang ke arah yang sama. Ekornya digoyang-goyangkan.
"Yang lain-lain cuma pengsan tapi manusia yang boleh nampak kau tu, dia nazak. Dia terhantuk pada batu besar tadi dan dia tak tahu berenang. Sebab itu dia tak boleh cari punca oksigen untuk bernafas. Sekarang dia dalam keadaan kekurangan oksigen."
Ben mengetap bibirnya kuat, terasa tidak berdaya untuk membantu. Perlahan kaki diturunkan daripada batu tempat dia berdiri. Wajahnya jelas kelihatan hampa. Satu persatu memori menghenyak minda. Setiap satu saat harapannya dihancurkan hingga akhirnya dia terpaksa menerima takdir untuk bersendirian seumur hidup.
Ben pandang sekujur tubuh yang tercungap-cungap mengejar nafas di samping teman-temannya yang tidak sedarkan diri. 
"Untuk kali pertama orang boleh nampak aku, wisp. Untuk pertama kali aku rasa harapan tu ada. Untuk pertama kali aku rasa kewujudan aku ni bertanda sebab acapkali aku lupa... aku sebenarnya hidup."
Goyangan ekor wisp terhenti. Dia pandang Ben melalui bawah dagu lelaki itu lalu memandang pula lelaki bernama Daus yang tercungap-cungap persis ikan di atas darat. Lama mereka berdua berfikir walaupun yang bermain di benak mereka pastinya berbeza. Wisp tahu kerinduan Ben yang mahu bersahabat. Persis seorang manusia biasa walaupun dalam diam lelaki itu menidakkan. Dia tertunduk tidak tahu rasa apa yang dirasai di saat itu. Jelas dia juga tidak sampai hati melihat Ben berulangkali menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar kerana melalui riak Ben, dia faham. Kehadirannya sahaja tidak cukup.
"Aku boleh berkorban kalau itu permintaan kau," ucap wisp polos seperti selalunya. Seolah-olah tiada apa.
Ben mengerutkan dahi tetapi dia diam memberi laluan untuk wisp meneruskan kata-katanya yang seterusnya.
"Aku boleh selamatkan manusia tu dengan izin Tuhan. Aku boleh cuba kalau itu permintaan kau tapi sebagai ganti... kau kena korbankan aku."
Ben tersentak mendengar bait-bait kata yang terzahir daripada wisp. Makhluk kecil itu lantas terbang ke hadapan mukanya.
"Bagitahu aku, Ben. Apa permintaan kau?"


Seterusnya... (Fasa 2)

No comments:

Post a Comment