Fasa 2
"Manusia? Apa kau buat di sini sendirian?" tanya will-o'-the-wisp tanpa menampakkan bentuk tubuhnya pada seorang budak lelaki yang memeluk lututnya dengan tangisan yang teresak-esak.
"A... aku sesat," jawab Ben tanpa mengetahui siapa yang sedang berkomunikasi dengan dia. Mata dipejam serapatnya.
Dalam keadaan masih terpinga. Wisp menyorok di belakang batang pokok besar berhampiran lelaki itu. Selang beberapa ketika, cahaya dari lampu suluh mencelah di antara batang pepohon di dalam hutan. Si makhluk kecil itu hanya memandang, berharap agar kanak-kanak lelaki itu ditemui secepat yang mungkin.
Ben yang mendengar laungan rombongan penduduk yang memanggilnya, menarik lutut semakin erat ke dada. Tubuhnya menggigil.
Wisp menggunakan cahaya badannya itu untuk menarik perhatian sekumpulan manusia yang mana ada yang melihatnya akhirnya mengekori jejaknya seperti yang dia kehendaki. Sampai sahaja mereka di hadapan Ben. Wisp terus melarikan diri, kembali ke tempat persembunyian. Jelas tiga orang daripada rombongan itu menyuluh tepat ke arah Ben.
Diam.
Lambat-lambat langkah diatur mereka pergi apabila tiada sesiapapun dilihat mereka di situ. Pergerakan wisp yang terapung-apung di udara jadi kaku tiba-tiba. Dia pasti Ben ada di situ jadi bagaimana anak Adam itu boleh tidak dilihat mata kasar mereka. Lagi perit sedang dia ada di situ dan mereka beredar seolah-olah budak lelaki itu tidak wujud.
Dia bergerak mendekati Ben yang tidak berani mengangkat muka dek ketakutan yang teramat.
"Angkat kepala. Pandang aku," arah wisp meskipun badannya berkali-kali ganda kecilnya jika dibandingkan Ben. Takut-takut Ben mengangkat pandang. Bawah matanya sembap. Bekas air mata masih kelihatan walaupun agak tenggelam dek pekatnya malam.
"Kau siapa?"
"Aku... Ben." Bibirnya terketar-ketar.
"Kenapa manusia tak boleh nampak kau?"
Hanya gelengan yang diterima wisp sebagai jawapan. Dia memandang Ben lama sebelum menghulurkan tangan kecilnya ke arah lelaki itu. Terkejut dengan huluran itu, Ben terdiam. Esaknya hanya tinggal sedu-sedan. Dia tidak tahu reaksi apa yang wajar diberikan. Mahu disambut dia pun tidak tahu sama ada alam yang dimasukinya itu realiti atau fantasi.
"Sambut kalau kau perlukan aku. Aku akan jaga kau mulai saat ini. Itu pun kalau kau nak."
Hening. Tangan wisp yang lebih kecil daripada ibu jarinya dipandang Ben tidak lepas. Lama dia berfikir sebelum akhirnya huluran itu disambut.
Saat sentuhan mereka bertemu. Angin yang tenang tiba-tiba terasa kuat. Urat-urat rambut Ben yang asalnya berwarna hitam pekat sedikit demi sedikit menular bertukar menjadi warna perak. Begitu juga alis mata dan keningnya.
Seusai salaman itu diakhiri. Puput bayu sedikit demi sedikit bertukar tenang.
"Aku janji aku akan jaga kau."
Tanpa perlu menunggu jawapan daripada Ben. Wisp tahu apa yang seharusnya dia lakukan. Dia tahu apa yang tersembunyi di balik hati temannya itu. Ben perlu membuat pilihan di antara dua dan wisp memberikan hanya satu jawapan buatnya. Tidak tega untuk memaksa Ben memilih.
Tanpa mengetahui di mana silapnya. Ben kaget melihat figura wisp yang tercerai menjadi cebisan tompok-tompok halus. Bermula daripada ekornya. Makhluk tersebut kian hilang daripada pandangannya.
"Wisp?" seru Ben, cuak tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
Pandangan mata Ben ditentang wisp untuk kali terakhir.
"Ben, janji dengan aku satu perkara."
Kepalanya digeleng laju. Langkah dibuka sedang tangan dihalakan ke hadapan mahu memegang wisp tetapi hampa, untuk sekali itu mereka hanya boleh melihat satu sama lain tanpa mampu menyentuh. Wajah Ben bertukar pucat.
"Wisp, jangan buat aku macam ni. Jangan tinggalkan aku," rayu Ben separuh sebak.
Kepala dilentokkan wisp ke sisi. "Janji dengan aku, kau akan bahagia."
Cecair bening laju membasahi kolam matanya. Belum sempat dia membalas kata-kata wisp, figura makhluk itu perlahan-lahan menghilang sehingga akhirnya tiada lagi figuranya yang tertinggal. Melihatkan ketiadaan wisp di hadapannya. Lutut Ben terasa longgar, tidak mampu menampung berat badannya sendiri. Dia terduduk ke tanah. Kepala tertunduk memandang lutut sebelum matanya dipejam rapat. Kesal.
Di saat itu angin di dalam gua itu terasa kuat alunnya. Rambut Ben yang berwarna perak perlahan-lahan bertukar kehitaman diikuti kening dan bulu matanya. Dia merasa satu kelainan tanpa mengetahui perubahan fizikalnya sendiri.
Berdekatan dinding gua. Dia terdengar suara seseorang terbatuk-batuk mengeluarkan air yang mengisi ruang paru-paru. Ben mengumpulkan tenaganya. Mungkin dia tidak pedulikan orang di sekelilingnya tapi tidaklah dia itu tiada hati perut mahu meninggalkan sekumpulan manusia itu di situ. Dia bangun seraya melangkah perlahan ke arah Daus.
Nadi lelaki itu diperiksanya. Dada yang makin stabil turun naik di hadapannya dipandang. Nafas dihela perlahan sebelum dia memeriksa yang lain-lain. Teman Daus yang lainnya hanya pengsan. Badan mereka sedikit lebam dan calar dek tersagat batu tajam. Begitu juga dengan Daus, kecederaan hampir serupa. Bezanya, tulang kaki kanan Daus patah. Jadi Ben mengikatnya dengan kayu panjang untuk mengelakkan Daus daripada menggerakkan bahagian kecederaannya itu.
Sedang dia mengikat tali yang dijumpainya ke kaki Daus. Telefon bimbit yang tersadai di sisi mereka bergetar dan bercahaya menandakan ada panggilan masuk.
Ben terdiam. Dahinya berkerut seribu sebelum kelopak mata dipejam rapat. Tangan yang tadinya lincah tiba-tiba terasa hilang daya. Dalam keadaan teragak-agak dia memanjangkan tangan mahu menyambut panggilan tersebut tapi dia ada kisah silam yang kurang menyenangkan dengan peranti elektronik. Melekap sahaja tangannya ke muka alat elektronik itu. Badan Ben terasa bergetar sedikit. Ngilu dek rasa takut yang tertanam di kepalanya.
Perlahan-lahan matanya dibuka. Mengetahui yang tiada apa-apa yang berlaku kepadanya. Ben jadi terkejut. Jakun dia memegang peranti elektronik itu. Getaran telefon yang mati tadinya hidup semula. Hampir sahaja telefon kecil itu dicampaknya ke tanah.
Dia pandang lagi sebelum menekan salah satu ikon hijau yang terpampang.
"Assalamualaikum, Daus. Bagi telefon pada abang kamu, ibu marah sangat sekarang ni. Suruh dia bawa kamu balik. Berapa kali ibu nak pesan jangan dibuat kerja sia-sia tu? Bagi telefon pada dia, sekarang!"
Suara perempuan yang berkumandang di corong telefon sewajarnya disambut Ben tetapi dia jelas terpana. Tidak terkata apa. Terkejut pun ya.
"Hello?" tegur suara itu lagi.
Ben menelan air liur. Bibirnya dibasahkan dengan hujung lidah. "He... hello."
Diam.
"Ni siapa? Saya salah nombor ke?" tanya suara di talian satu lagi. Polos.
Nafas ditarik dalam sebelum dia menyambung kata. "A... anak mak cik pengsan dalam gua. Mereka masuk sewaktu air pasang."
Hampir putus nafas wanita itu dibuatnya. Kelam-kabut dia meminta lokasi dan di saat itu Ben mendedahkan lokasinya tanpa jeda.
Saat talian dimatikan, objek yang dipegangnya tadi masih juga tertekap di telinga kiri. Tangan terketar-ketar. Pegangannya makin lama makin lemah. Bunyi detakan objek tersebut bertemu lantai bumi menyedarkan Ben akan situasinya di saat itu.
"Kau tahu kenapa manusia tak nampak aku, wisp?" soal dia.
"Kalau aku tahu, tak adalah aku tanya kau."
Ben ketawa mengekek. Sudah genap dua tahun dia tinggal bersama wisp. Hanya mereka berdua dan tak pernah sekalipun dia berjaya sembunyikan rasa hatinya daripada makhluk tersebut.
"Kau sunyi?"
Ben geleng. Hujung bibirnya dijongket sedikit. Terasa kelat di dada. "Mungkin manusia tu jahat, sebab tu Tuhan jauhkan aku daripada mereka."
"Kalau ada yang jahat mesti ada yang baik. Jangan terlalu fokus pada sisi yang tak baik sedangkan kau boleh cari sisi kebaikan tu, Ben."
Dia hanya ketawa mendengar jawapan wisp walaupun selepas itu dia hanya membungkam, tidak bersuara.
"Ben...." Pandangan lelaki itu dihalakan ke arah wisp. "Macam mana kalau suatu hari ada manusia boleh tengok kau?"
Ben tersentak namun cepat-cepat dia kawal mimik muka. "Mana mungkin."
"Tak ada benda yang mustahil dalam dunia ni, Ben." Ekor wisp galak menghayun ke depan dan ke belakang. "Kalau... kalau suatu hari nanti kau harus memilih antara aku dan dunia kau, Ben. Aku akan pastikan kau tak perlu buat pilihan sebab aku yang akan pilihkan untuk kau."
"Apa kau merepek ni, wisp? Mabuk tertelan air sungai ke apa?"
Gurauan Ben dibuatnya tak endah. "Aku dah janji aku akan jaga kau. Kau kawan terbaik aku pernah ada."
Terngiang suara wisp di ingatan. Tangan digenggam Ben kuat.
"Apa yang kau dah buat, wisp?"
No comments:
Post a Comment