Saturday, 17 August 2019

Tentang Angan (Bab 2)


BAB 2
(Pendaftaran)


“Assalamualaikum, Aya. Saya dari pihak universiti yang awak hadiri temuduga untuk jurusan perubatan tu. Saya nak maklumkan yang awak antara calon yang diterima masuk. Jadi awak boleh lapor diri pada 25 September 2017, ya?”

“Semua borang dah ada, alang?” suara ayah bergema di gegendang telinga. Aku pula tengah mengelamun teringat panggilan telefon beberapa bulan lalu. Memori yang tadi singgah terus terbang entah ke mana. Dia pandang aku melalui cermin pandang belakang.

Aku angguk dalam debar. Hari ni daftar, cuak juga. Walhal bukan aku nak kena berperang dengan jargon medik lagi pun. Baru hari nak serah borang dengan sesi taklimat. Fail hijau dengan isi kertas A4 yang memang aku dah sedia sekali dengan sijil-sijil akademik aku masukkan ke dalam beg silang. Pintu penumpang di bahagian belakang Kereta Citra aku buka dengan lafaz bismillah.

Nasib aku tanya Ael awal-awal tentang baju apa yang sesuai untuk aku pakai. Memandangkan ada kawan dia juga yang ambil jurusan yang sama dengan aku di universiti tersebut.

“Aya, kawan aku pesan ni. Medik tak susah. Kau cuma kena fokus betul-betul je masa kelas,” kata Ael yang aku ulang dalam kepala supaya aku tak berpaling daripada keputusan yang satu itu.

Kali ini aku tak pakai kasut tumit tinggi sebab kawan Ael tu pesan lagi dekat aku yang masa pendaftaran dengan sesi taklimat memang kena banyak bergerak. Jadi aku pun dengan yakinnya pakai seluar slack hitam dan blouse pinjam warna merah hati. Itu pun selepas puas aku membodek along supaya bagi aku izin untuk pakai blouse dengan tangan ‘kepuk-kepuk’ milik dia.

Langkah aku bawa masuk melepasi pintu utama Performance Art Theater (PAT) yang bertempat bertentangan dengan kolam ikan dan sebelah surau lelaki. Adalah beberapa orang ahli jawatankuasa perwakilan pelajar bertugas yang sambut kami waktu itu menunjuk arah. Aku pun dengan naifnya berjalan melangkah sendiri.

Masuk ke dalam ruang utama. Aku ambil tempat yang disediakan sementara menunggu giliran. Nampak sangat aku ni lone ranger sebab yang lain-lain dah berpasangan bergelak ketawa dalam kumpulan sedang aku menapak sendirian dengan muka selamba tak pedulikan orang. Mungkin sebab dah biasa, jadi aku tak pedulikan sangat rasa sunyi yang sekali sekala menjengah dalam kepala.

Selang beberapa minit aku labuhkan duduk, ada pula orang lain yang turut mengambil tempat di sebelahku. Kalau diikutkan pengamatan aku dia pun nampak macam sendiri. Untuk berkenalan dengan orang yang sama situasi dengan aku ni sebenarnya buat aku lebih selesa. Kalau nak dibanding dengan berkenalan dengan orang lain yang dah ada kelompok sendiri. Potensi akan makan hati sebab dipulau tu tinggi.

Hello.” Aku tersenyum ke arah gadis berbangsa India di sebelah.

Mungkin tersedar dengan teguran aku, dia pun tersenyum sebelum menjawab kata balas sekadar untuk berbasa-basi. Entah kenapa aku teringat dekat Nishaanthini sang teman semeja untuk tiga tahun semasa di sekolah menengah di Johor Bahu.

Are you here for medical course also?” soalnya.

Aku angguk. “Indeed, I am. And you?” tanyaku pula nak meneruskan perbualan supaya tiada bunyi cengkerik yang boleh mencelah.

Dia senyum lagi turut mengangguk.

Same.”

Aku tayang muka teruja yang memang tak boleh nak elak. Dia tak tahu betapa bersyukurnya aku sebab jumpa seorang manusia yang akan ambil jurusan yang sama dengan aku nanti. Benda pertama yang aku kena buat. Aku kena jadi ‘gula-gula getah’ sebab aku tahu untuk aku survive sendiri di fasa awal ni memang susah.

Really? Oh, thank God! I am so glad to meet you, here. Honestly, I don’t have any friend here. So, do you mind if I stick with you for the time being?” Menipu dan pura-pura melekat dengan gadis itu bukan pilihan aku. Jadi baik aku jujur je daripada awal. Kalau dia tolak pun aku akan hormat keputusan dia.

Yeah, sure. Why not?” Aku memang nak menangis terharu peluk dia masa tu. Kenapa kebanyakan gadis berbangsa India yang aku jumpa baik sangat?

Cepat-cepat aku keluarkan Samsung J1 Ace daripada slang bag yang memang aku dah matikan tadinya sebelum melangkah masuk ke PAT.

Umm… do you mind if I take your number? Just in case if anything happen.” Lurus sangat ke aku? Ah! Gasaklah. Peduli pula aku, kan?

Dia geleng sebelum menyebut satu persatu nombor telefonnya dengan jelas. Tulisan ‘tambah kenalan’ di skrin telefon aku tekan. Terpapar arahan menyuruh aku untuk menamakan kenalan baru di skrin yang masih bercahaya dalam mode senyap.

May I know your name?

Kenapa aku tak tanya awal-awal nama dia? Heh! Klise, kita ubah sikit jalan cerita. Walhal aku dah bertukar nama dengan dia di awal perkenalan sesaat kami itu lagi sebenarnya.

Diva, isn’t it?” soalku masih fokus pada skrin telefon.

“Theeva,” sambutnya.

“Diva?” ulangku bimbang tersalah sebutan mahupun ejaan. Si gadis di sebelas itu pun dengan senyum comel macam Nisha juga angguk mesra memberi isyarat yang sebutan aku betul.

Serius aku dengar sebutannya ‘Diva’ bukan ‘Theeva’. Jadi aku pun dengan muka naif tak sebersalahnya menonong taip Diva MBBS sebelum menghulur telefon ke arah gadis itu untuk diperiksa ejaannya buat kali terakhir. Dia pun dengan lemah lembutnya mengangguk. Aku pula dengan yakin tekan ayat ‘simpan’ di skrin telefon.

Apabila nomborku dipanggil, langsung terkocoh-kocoh aku simpan telefon bimbit ke dalam beg sebelum memberi ucapan pamit buat kenalan baru aku.

It’s my number. Going to catch up with you later, Diva. So, nice to meet you. Thank you so much,” ucapku ikhlas sebelum melambai ke arahnya. Dia pun dengan manisnya membalas.





Aku… sesat. Ya Allah! Kaki dah melangkah tak cukup tanah ke hulu ke hilir. Aku tak tahulah aku dah tawaf tempat ni dah berapa pusingan. Jantung yang tak berapa nak ‘sado’ pun dah rasa macam nak meletup menahan rasa penat dan cuaknya.

Jam tangan yang terlilit di pergelangan aku kerling sekilas. Ayah yang turut bergerak tak cukup tanah mengejar aku yang berjalan kalah ribut pun aku tinggal di belakang gara-gara terlalu risau. Mana tak risaunya kalau aku memang sah-sah dah lambat untuk sesi taklimat. Dengan tempat spesifiknya yang memang tidak dimaklumkan awal-awal. Mahu mengamuk pun bendanya dah jadi. Bukannya boleh dibuat apapun kalau aku terbalikkan bangunan itu sekalipun.

Langsung aku teringat dekat Diva. Laju tangan menaip teks di aplikasi whatsApp menyoalnya tentang sesi taklimat yang sepatutnya aku hadiri tepat jam dua petang. Memang tabiat aku tak suka lewat ke kelas. Rasa macam pesalah hukum gantung je kalau masuk ke kelas lewat. ‘Dasar skema kau, Aya!’  

Getaran yang terasa bergetar di tapak tangan menyebabkan aku tundukkan pandangan memandang skrin. Hampir terkeluar bergolek bebola mata aku baca mesej daripada Diva yang memberitahu aku yang sesi taklimat itu memang dah bermula. Sesi bersuai kenal juga sudah tamat. Lagilah terasa mahu meraung di saat itu.


‘Hi! This is Aya. I am sorry, may I know where are you right now?’- Aya

Laju ibu jari aku menekan butang hantar, menyoal keberadaannya. Tak lama kemudian fon aku bergetar lagi.


‘In the Lecturer Hall (LH) but I am not sure myself, which LH they brought us.’- Theeva


Aku kembungkan pipi geram. Kalau macam itu celah mananya aku nak jumpa tempat taklimat tu?

Tiba-tiba ayah aku berhenti di salah satu meja tempat pelajar-pelajar senior yang entah jurusan apapun aku tak tahu. Mahu tak mahu aku berpatah semula ke belakang menyertai ayahanda aku yang masih lagi dengan riak selamba tak bersalahnya walaupun aku berkali-kali ingatkan sesi taklimat aku mula pukul dua. Masih juga dia degil bawa aku pusing-pusing sekitar Shah Alam. Walhal rumah dengan universiti itu bukannya jauh sangat pun macam Johor nak ke Kedah.

“Tumpang tanya. Tahu tak sesi taklimat pelajar-pelajar medik dijalankan di mana?” soal ayah aku yang turut mengetuk gegendang telinga aku kiri dan kanan.

Sekumpulan pelajar yang tengah gigih menulis entah apa di atas kertas memanggungkan kepala memandang ayah aku dan aku bersilih ganti. Riak aku memang dah gaya nak telan orang hidup-hidup tiada kompromi.

Kelam tak tahu punca reaksi mereka memberi petanda awal sebelum menggeleng ikhlas.

“Maaf, pak cik. Kami tak tahu. Pihak pengurusan ada maklumkan di mana?” soal salah seorang daripada mereka.

Ayah kerling aku dekat sebelah. Aku pandang dia semula sebelum laju aku menggeleng menidakkan.

“Tak apalah. Terima kasih,” balas ayah aku sebelum berjalan mendahului aku yang masih lagi terpacak tenung telefon di tangan.

Tak lama kemudian panggilan masuk daripada Theeva hampir buat aku terlompat. Kelam kabut aku menjawab.

Hello, Aya.” Aku balas juga seperti biasa walaupun aku sedar nadanya seolah-olah sedang berbisik.

Where are you?” tanya dia lagi.

Aku tarik nafas dalam cuba bertenang. “I’m not sure, myself. But I know that I am at the management tower,” balasku jujur.

Dalam nada berbisik dia bagi aku arahan satu persatu untuk aku melangkah sehinggalah pintu LH 6 yang tertutup rapat itu menjengah ruang pandangan. Ayah aku di sebelah pandang aku sebelum menyoal, “Ini?”

Aku jongket bahu sebelum mematikan talian antara aku dan Theeva. Kalau diikutkan memang arahan Theeva itu menghala ke situ. Tanpa menunggu masa berlalu lagi, ayah aku menarik pintu besar itu dengan tangan kanannya. Dalam debar aku menjengah kepala memandang. Tiba-tiba bayang tangan dan wajah Theeva yang melampai paras bahu hinggap di pandangan aku. Saat itu aku punyalah lega tak terucap dek kata..

Ayah yang masih berdiri di sisi aku salam laju. Sebelum dia berlalu, aku menerima pesanan ringkasnya, “Dah habis nanti telefon abah.” Aku angguk mendengar arahannya sebaris.

Dengan riak sebersalah aku masuk dan mengambil tempat paling belakang. Aku ingatkan aku satu-satunya pelajar baru yang lewat rupanya berderet lagi yang datang lambat. Baris di belakang aku pun diisi penuh. Rasa lega mula menyelinap sedikit demi sedikit.



No comments:

Post a Comment