(Temuduga)
"Why do you want to be a doctor?" soal seorang lelaki dengan loghat antarabangsanya yang aku sendiri tak pasti slang yang digunakan itu asalnya daripada negara mana.
Bibir masih lagi kejung dengan senyuman yang cuba dimaniskan sehabis ikhlas. Manakala, minda pula berputar ligat memikirkan jawapan buat soalan tersebut.
Soalan tipikal para penemu duga apabila melontarkan soalan untuk calon-calon yang bakal mengisi kekosongan kuota pelajar perubatan yang masih kosong.
Sesi temu duga aku dijalankan pada waktu pagi. Yang pada asalnya aku ingat akan turut ada ujian bertulis yang ternyata meleset sebab hanya sesi temu duga sahaja yang dijalankan. Temu duga itu pula bukan hanya masuk satu bilik menjawab apa-apa soalan yang diaju kemudian dah boleh tarik nafas lega. Tak!
Ada empat bilik yang perlu dihadapi. Jantung pun terasa sekejap berhenti berdegup kemudian berdegup semula. Proses yang sama berulang sehinggalah ke bilik terakhir itu. Dan satu-satu bilik tersebut bukan hanya satu penemu duga. Ada dua. Secara keseluruhannya ada lapan penemu duga yang perlu dihadapi.
Untuk manusia macam aku yang tak pernah ditemu duga secara rasmi begini. Memang boleh bergolek ke lantai dibuatnya segala organ dalam dada ni menahan debar. Paling akhir pun aku ditemu duga hanyalah masa sekolah menengah sewaktu aku mohon untuk menjadi pengawas pusat sumber. Itu pun santai ala-ala pergi berkelah bawah pokok kelapa pun ya.
Nafas dihela perlahan. Riak masih dengan lagak tenang walaupun rasa dalam hati memang hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kucar-kacirnya rentak degup jantung. "I want to help more people." sebaris ayat itu aku saji. Sekali lagi jawapan tipikal calon-calon pelajar perubatan.
Suasana hening seketika sebelum aku membawa anak mata memandang muka meja di antara aku dan dua orang doktor perubatan yang juga pensyarah di universiti tersebut. Mengutip emosi agar seiring dengan kata-kata yang bakal aku utarakan.
Kata-kata itu jadi lebih berkesan apabila seiring dengan keihlasan dalam hati. Ya, aku mencari ikhlas dalam setiap memori aku supaya lancar diceritakan dalam bentuk ayat.
Anak mata dihala naik melawan pandang dengan dua orang penemu duga di hadapan aku. "For such a fragile human being who was trying to help others while they know that they also ain't that strong, for me... it is very amazing. Trying with all their might just to save people's life. Being a doctor is a noble profession. No doubt on that. I want to try to be one. Be the one among those who help while expecting nothing in return."
Kalau ditanya mengapa. Sejujurnya aku tak temui lagi jawapan untuk soalan yang satu itu. Memanglah tiada masalah langsung kalau nak jadi hipokrit berlakon di hadapan mereka sekalipun sekadar untuk menambat hati. Tapi entahlah, aku sebolehnya nak elakkan ajar diri daripada menipu. Jadi itu jawapan paling jujur aku boleh bagi buat masa ini.
Tentang seorang Aya yang mencari definisi sebenar 'ikhlas'. Untuk 19 tahun lamanya mencari. Aku tak jumpa walaupun ada je dicetak dalam kamus dewan. Tapi entah, masih hati ini nak mencari. Dan jalan ini, hati aku kuat mengatakan bidang yang aku mahukan ini ada jawapannya.
"It's hard seeing those who are in need, dying just next to you and you can do nothing to help them because you're just... incapable enough to be the one to help."
Bibir menarik senyum segaris sedang minda ligat berputar. Terbayang satu-persatu kenangan di ruang mata berselang-seli dengan berita tentang sahabat-sahabat sendiri yang terlebih dahulu telah pergi menghadap Ilahi.
Masih nafas yang tidak berapa dalam aku tarik seperti biasa. Debar yang berlagu sudah semakin tenang rimanya.
"I want to have that ability. I want to learn more in medicine so that I can be one of them. Like those who have the knowledge in this field. Like those who capable enough to help whoever in need," balasku lagi yang entah mengikut piawai kehendak mereka ataupun tidak aku pun tak tahulah.
Bilik temu duga yang sebesar kelas yang mampu memuatkan kurang 30 orang itu kembali hening apabila aku diam. Aku rasa sampai situ je kut. Jawapan aku. Terkebil-kebil aku pandang insan-insan yang duduk bertentangan dengan aku. Wanita kelahiran Myanmar berkaca mata bulat yang duduk bertentangan masih tak berkutik pandang aku daripada tadi.
Aku senyum kelat sebelum menyambung, "That is the reason why... I want to be a doctor."
Hanya anggukkan yang dibalas mereka. Memang suka benar buat aku cuak kekejungan macam ni.
"Dr. Aung, do you have any more questions for her?" tanya penemu duga lelaki buat teman sejawatnya di sebelah. Dia tersenyum pada aku sebelum menggeleng lembut.
Aku tarik nafas lega ingatkan cerita habis di situ. Rupanya...
"Then, last question from me. Why do you choose this university to further your study in medical field?"
Takkan aku nak jawab, "Saya mohon universiti kerajaan untuk jurusan ni tak dapat. Jadi saya sajalah menggedik nak mencuba nasib dekat sini." Mahunya kena tolak bulat-bulat tanpa bertanding pula nanti kalau aku jawab terlebih jujur macam tu.
Lepastu aku hentam jawab tentang kemudahan yang universiti tu sediakanlah, pengalaman kawan kakak akulah, pensyarah yang berpengalamanlah dan entah apa-apa lagi yang memang aku dah buat sedikit selidik sebelum datang temu duga. Di samping, cuba 'menggosok' dua orang tu supaya bagi markah lebih sikit dekat aku sebab puji melambung-lambung.
Rasa lega bila mereka mula tanya aku andai aku ada soalan yang nak ditanya. Tips kalau pergi temu duga, memang kalau mereka tanya jika kita ada soalan ke tidak. Sebaiknya adakan juga soalan tu walaupun otak kau kosong, sekosong ruang vacuum.
Dan memang otak aku kosong tentang tu. Spontan entah kenapa aku tanya tentang ubat untuk kanser. Soalan aku tu dijawab dengan penuh profesional sampai aku sepatah apapun tak faham sebab jargon medikal digunakan mereka dalam penerangan. Nganga jugalah aku nak menghadam.
Di tambah lagi dengan fikiran yang menerawang memikirkan kegigihan aku membaca tentang penyakit denggi dan beberapa lagi penyakit. Semata-mata untuk persediaan temu duga itu sampai tak cukup tidur. Alih-alih tiada satu pun yang ditanya. Tipikal ujian bukan? Memang yang kita baca tu selalu tak keluar. Dipujuk juga hati mengingatkan yang itu anugerah Allah bagi supaya aku ada pengetahuan lebih. Tapi memang betul pun.
Untuk apa belajar kalau memang daripada awal hanya sekadar untuk dilupakan kelak, bukan?
"Understood?" Aku tersentak. Apakah? Wajah sang penemu duga yang masih memandang lurus ke arah aku itu masih dengan riak ikhlas pasca penerangan.
Aku angguk laju walaupun bahagian mana yang aku faham pun entahlah. Tak adalah aku tak faham langsung. Ada. Cuma yaa... ada satu dua tak faham tu biasalah. Ceit! Ayat cuba melarikan diri.
"So, anything else?" soalnya lagi.
Laju aku menggeleng sambil bersuara, "I don't have anymore question, Sir."
Lelaki yang seakan sebaya ayah aku itu mengangguk sebelum menutup mata pen dengan penutupnya. Nafas dilepasnya sebelum bangun. "I think that's it for today. We'll contact you later if you're selected. Thank you for your hard work."
Senyuman aku bukan main lebar. Lega. Walaupun yang ditanya tu sama sahaja di setiap bilik temu duga tapi jawapan yang aku bagi, bervariasi betul untuk setiap bilik. Semua lain. Bilik terakhir ni je yang aku yakin sikit dengan jawapan yang aku kemukakan. Dan yang paling ikhlas aku rasa. Selebihnya aku buat drama sinetron acah profesional tapi kelaut.
Tombol pintu aku pulas sebelum sebelah kaki dibawa mara untuk meloloskan diri keluar daripada bilik itu. Entah di mana silapnya, aku tersepit di celahan pintu dek kaki yang terpeleot tersilap langkah.
Muka aku tebalkan tak menoleh sekilas ke belakang. Entah mereka perasan ke tidak aku pun tak tahu. Yang aku tahu memang kasut tumit tinggi yang aku tak biasa pakai tu mendapat sumpah seranah berbakul-bakul banyaknya selepas itu. Padan muka. Gedik lagi nak pakai kasut tumit tinggi.
No comments:
Post a Comment