BAB 3
(Orientasi)
Belakang kepala disandarkan pada cermin kaca kedai cenderamata. Jam yang terlilit di pergelangan dikerling sekilas untuk kesekian kalinya. Selang beberapa saat kemudian, lama aku terngadah memandang atas sebelum melorot ke sisi kiri dan kanan memandang bakal-bakal teman sekuliah yang dah menggamatkan ruang sekitar dengan perbualan dalam kelompok masing-masing .
Berapa lama nak tunggu ni. Mata yang dah sedia kuyu terasa semakin memberat.
”Dalam banyak-banyak benda yang nak disuruh kenapa pula kita kena buat persembahan tarian? Tukang melatihnya mana? Dah pukul berapa ni? Pantang betul aku kena tunggu orang.” Dalam keadaan mata yang terpejam, auditori aku masih cekap menangkap ujaran insan tersebut tapi langsung aku tak ambil pusing.
”Dalam banyak-banyak benda yang nak disuruh kenapa pula kita kena buat persembahan tarian? Tukang melatihnya mana? Dah pukul berapa ni? Pantang betul aku kena tunggu orang.” Dalam keadaan mata yang terpejam, auditori aku masih cekap menangkap ujaran insan tersebut tapi langsung aku tak ambil pusing.
‘Kalau aku tidur sekejap pun sempat rasanya ni.’ Tangan dibawa bersilang ke dada, membetulkan posisi sebelum berlayar ke alam lain. Tak kisahlah siapa pun kita tapi sikap tak tepati masa tu adalah antara faktor kenapa kita ni jadi mundur, sekaligus heret negara ni jadi mundur. Kebiasannya kita akan dengar istilah ‘janji Melayu’ tapi aku takkan guna istilah tu sebab bagi aku… kenapa perlu salahkan bangsa kalau memang diri sendiri yang tak berdisiplin?
Baru hendak terlelap nyenyak, ada pula suara lain yang menjengah pendengaran.
“Eric dah sampai.” Masing-masing menoleh ke arah lelaki berbadan tegap yang jalan melenggang dengan beg di tangan. Mata masih tak terasa nak dibuka. “Aku dah agak dia juga yang akan latih kita.” Terus celik mata aku memandang ke arah yang dimaksudkan.
Saat itu figura lelaki berambut putih panjang hingga paras bahu menangkap perhatian aku. Rambut dia kalah rambut perempuan dalam iklan syampu di kaca televisyen. Beralun lembut ditiup angin petang. Terkebil-kebil aku pandang pemuda yang menapak lurus ke arah kami. Uban? Andaianku spontan sebelum laju aku menggeleng. Takkan kut.
Kulit muka tegang tanpa kedutan pun. Sekejap-sekejap dia menyelak rambut ke sisi apabila rambutnya ditiup angin hingga menutupi wajah. Aku pula yang terasa kejutan budaya melihat lelaki itu. Jangan kata dia…
Berada sahaja di tengah medan di antara kelompok-kelompok pelajar, dia meletakkan beg yang dipegang ke lantai. Tapak tangan ditepuk tiga kali, “Okay, guys. I am Eric. I’ll be your trainer from today until your oath taking day. Buat sepuluh barisan sekarang. Segala khazanah tolong letak ke tepi. Free yourself from everything.”
Dalam dia memberi arahan. Mata aku masih terpaku ke arah rambut putihnya. Uban? Tak mungkin… Rambut palsu? Kemungkinan besar ya.
“Now!” tengkingnya menyebabkan aku tersentak. Hilang terus andaian aku berkenaan rambutnya, melihatkan teman-teman di sekeliling dah terkocoh-kocoh menyimpan barang berharga ke dalam beg, aku dengan malas menyimpan kembali telefon bimbit ke dalam beg galas.
Pelipis digaru perlahan, masih cuba menghadam situasi. Namun tetap aku luruskan kaki untuk bangun tanpa sebarang bantahan. Masing-masing berkerumun di bahagian belakang tidak mahu berada di barisan hadapan. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Kalau dah begini jadinya. Bila benda boleh mula? Langkah malas aku atur sebelum aku dengan sukarela berdiri di hadapan. Pedulilah boleh menari ke tidak. Aku nak benda ni habis cepat. Itu je.
Selang beberapa minit. Rakan-rakan tarian Eric menarik seorang demi seorang ke barisan paling hadapan sebelum dia memberi arahan agar yang lain-lain memilih barisan yang telah mereka susun.
“I don’t mind whether you can dance or not. I’ll teach you guys step by step. Please memorize the steps as I have make it as simple as possible. When you stand on the stage later. Remember, you will carry my name and reputation. I won’t let you taint my name. Got it?” ujarnya panjang lebar sementara jejaka yang juga merupakan temannya di sebelah kiri sedang terbongkok-bongkok memasang pembesar suara untuk audio.
“Yes,” gema semua serentak dengan nada rendah.
“I can’t hear you. Macam tak makan setahun. Faham ke tidak?” soalnya lagi dengan nada yang tegas.
“Faham!”
“Good. Now watch me. In three… two… one.” Tiga jari yang diangkat ke atas disusuli dengan gema lagu latar apabila ketiga-tiga jarinya turun membentuk genggaman. Langkahnya dibuka rancak memberi kami ruang untuk mengamati dahulu sebelum praktis sebenar diteruskan.
Pandangan aku tak lepas dari memandang dia yang lincah benar dengan setiap langkah dalam irama yang bergema. Aku tak tahu apa akan jadi lepas ni tapi yang aku tahu, benda takkan jadi lagi mudah.
Ya Tuhan… macam manalah aku boleh tercampak ke sini?
“Eh? Keluar lagi, Aya?” Tegur Kak Atiqah yang nampak aku terkocoh-kocoh menyarung kasut. Sengihan lebar dihadiahkan kepadanya sebelum aku memberi salam lantas mengunci pintu rumah sewa tingkat 16 unit 13 itu.
Kelam kabut juga jadinya apabila jadual pada hari tersebut padat benar. Usai solat maghrib terus bersiap untuk aktiviti ‘explore race’.
Kaki menapak laju berjalan ke arah universiti. Alhamdulillah dah masuk hari ke sebelas bergelar pelajar medik. Sungguh, pencapaian terbaru menjejak gerbang. Tak... belum masuk dalam lagi. Baru jadi tugu depan pintu.
Dua minggu orientasi. Tapi minggu ni minggu kedua. Kebiasaan pengalaman aku sendiri, orientasi ni selalunya cuma melibatkan aktiviti ringkas antara pelajar yang tugasannya diberikan oleh senior. Cuma kali ini berbeza sedikit sebab kali pertama aku lalui explorace waktu malam. Ikut khabarnya kami akan masuk ke dissection hall yang mana untuk pertama kalinya kami akan berkenalan dengan mayat yang bakal kami jumpa dalam kelas anatomi kelak.
Tali beg yang dah mulai melorot hingga ke siku aku pegang. Nak naik pergi ke tempat berhimpun pun kena panjat tangga, mengah dibuatnya. Dah lama sangat aku kembangkan pipi dekat rumah. Inilah natijahnya. Padan muka kau, Aya. Bakar balik segala lemak yang kau himpun selama ni.
Sampai di tingkat paling atas, aku tarik nafas lega. Mata melilau mencari manusia-manusia yang mungkin aku kenal. Adalah ketua batch tercongok tepi kolam ikan, tengah main fon. Ada lagi beberapa orang tapi boleh kira aku antara yang paling awal sampai sebenarnya.
Usai beberapa ketika menunggu. Makin ramai yang mengambil duduk di dataran itu. Ada juga aku cuba mengambil inisiatif untuk berkenalan, jadi peramah tanpa lesen seketika tapi tak menjadi. Senyum senget je lah mampu terbias melalui raut wajah.
“Kamu akan dibahagikan kepada dua belas kumpulan untuk menyelesaikan misi explore race kita malam ni,” ucap salah seorang senior MBBS yang juga ahli tertinggi dalam persatuan pelajar di fakulti kami.
Aku angkat kening tinggi. ‘Apa maksud dia misi?’
No comments:
Post a Comment