Saturday, 17 August 2019

Tentang Angan (Bab 4)


BAB 4
(Explorace)


“Dengar khabarnya senior kita akan dedahkan kita dengan bilik mayat malam ni.” Tangan yang terkuis-kuis bermain lantai kasar berpetak terhenti secara automatik. Kepala dipanggung untuk seketika sambil mencari punca suara.

“Mayat je pun. Paling-paling dahsyat sangat pun ada tangan je sebelah. Takpun kepala je atau badan tanpa kaki mungkin,” canda lelaki itu selamba. Teman dekat sebelah dah kelabu muka mendengar setiap kemungkinan yang diberikan.

“Tak lawak, Aidil. Malam-malam buta macam ni nak diheret kita masuk bilik mayat.” Mencuka riak Suraya.

Aku tersenyum melihat Aidil yang seronok betul dapat menakutkan gadis genit sebelah aku tu. Aku? Entah. Antara banyak-banyak benda yang aku paling teruja nak jumpa apabila masuk ke dalam bidang ini tentulah perkara yang satu itu, mayat.

Masing-masing akhirnya bungkam. Dekat lima belas minit juga menunggu si tiga sekawan yang dikuarantin untuk melakukan misi pertama tadi. Silap hari bulan aku terbongkang tidur atas lantai sejuk ni juga nanti. Tak betah mahu menunggu lama-lama yang mana bakal mengundang rasa mengantuk nantinya.

Rongga mulut terbuka luas sebelum ditekup tangan kanan. “Lama lagi ke budak-budak tu?” soal aku pada yang ada.

Dua pasang mata terhala ke arah aku. Serentak mereka menjongketkan bahu ke atas. Aidil menelek jarum jam di tangan. Keluhan dilepaskannya. “Kalah kita macam ni.”

Penutup botol air mineral aku pulas. Baru seteguk air jatuh menuruni kerongkong. Suara Suraya bergema, “Mereka dah sampai.”

Ayat sebaris itu menyebabkan aku angkat semula kepala dengan pipi yang masih kembung terisi dengan air. Jatuh sahaja pandangan pada tiga orang yang menapak mendekati. Spontan air di dalam mulut tersembur keluar dek terkejut. Mangsa utama adalah Raihan. Dia tergelak hambar.

“Kau pun nak aku basah kuyup ya, Aya?” soalnya dengan kelopak mata yang tertutup. Air mineral yang mendarat di wajahnya menitik turun perlahan-lahan.

Pipi aku membahang. Malu dengan reaksi diri sendiri. Suraya dan Aidil tanpa menunggu suasana tenang langsung mentertawakan Raihan yang gayanya persis baru keluar dari pesta air berwarna. Dua orang insan di belakang mengemam bibir, menahan tawa yang hampir meletus. Hanya mereka bertiga yang tahu betapa seksanya tugasan untuk stesen tersebut.

Sapu tangan aku keluarkan dari dalam beg seraya menghulurkannya kepada Raihan.

“Apa jadi?” Raihan memandang Aidil apabila disoal. Tangan kanannya menyambut sapu tangan yang aku hulurkan pada dia.

“Thanks,” ucapnya sepatah sebelum menjawab soalan Aidil. “Kau tanya budak berdua dekat belakang tu. Ada ke patut dijadikan aku korban?”

Suraya yang masih bersisa dengan tawanya mengerling Fay dengan Shao dekat belakang. “Apa yang jadi dekat bilik kuarantin tu?”

Fay menggaru belakang kepalanya sebelum menoleh ke arah lelaki berdarah kacukan di sebelahnya. Mereka bermain mata untuk seketika, berdebat menyuruh masing-masing menerangkan situasi.

“Kami salah jawab soalan.” Suraya memandang Shao pelik.

“Bukan you antara yang paling genius ke masa dekat matriks dulu?” soal Aidil seakan-akan meragui jawapan yang diterima.

Aidil, Suraya dan Shao berasal daripada institusi pengajian yang sama sebelum masuk ke universiti tersebut. Disebabkan itu jugalah mereka lebih akrab dengan satu sama lain.

“Anxiety,” balasnya sepatah sebelum tersengih lebar menampakkan barisan gigi hadapan atas dan bawah. Suraya menggeleng sebelum mengambil klu untuk ke stesen seterusnya.

Typical Shao. Dapat bintang tak?” soal Suraya. Dia kenal Shao bagaimana. Pandai mana pun dia, sekali kalau dah panik. Memang naya jawabnya. Semut pun disebutnya gajah

“Dapat. Thanks to that ‘bomb atom’ guy over there.” Berasap telinga Raihan apabila digelar lelaki bom atom. Dia mahu menyumpah buat kali kedua tetapi mulutnya ditekup Fay dengan sapu tangan yang aku beri.

“Sabar semuanya. Bawa bertenang. Soalan apa yang kau dapat tadi, Shao? Fay buat apa? Cabut soalan?” tanya Aidil.

Fay mengangguk pada masa yang sama hampir menjerut leher Raihan apabila perkataan ‘tangan puaka’ hampir terbit dari bibir lelaki itu.

Dua pasang mata yang terarah pada Shao langsung tidak perasan kelakuan kebudak-budakan Fay dan Raihan. Shao mendongak seketika cuma menggeledah memori berkenaan soalan yang terpaksa dia jawab.

“First, what is the stomach bed? Second, name the blood supply to heart. Third, state one organ in pelvic region,” balas Shao lalu menjatuhkan tangannya ke sisi usai mengira jumlah soalan menggunakan jari.

“Shao!” jerit Suraya dan Aidil serentak.

Dia terlompat sedikit ke belakang apabila disergah sedemikian. Terkebil-kebil dia memandang dua orang sahabat itu. Langsung tidak tahu mana salahnya.

“Soalan senang tu. Macam mana boleh salah? Kesian Raihan tak pasal ‘mandi’ malam-malam ni.” Shao tersenyum kelat mengakui kesalahannya.

“Aku syak air sirap yang dia simbah dekat kau tu mewakili darah. Coca-cola mewakili asid hidroklorik dalam perut dan air gula tu mewakili … kau faham-fahamlah,” ujar Fay sengaja mahu mencari gaduh dengan Raihan.

“Coca-cola?” terkejut bukan main kepalang Suraya.

“Ha’ah, katanya Sprite dah habis. Tinggal Coca-cola. Dia bedal jelah”

Aku menepuk dahi kuat. Patutlah manusia tu dah rupa orang minyak campur pontianak. Sementara mereka masih lagi berbicara soal tadi. Anak mata aku meneroka ayat yang tertulis di atas kertas yang dipegang Suraya.

“Malaysia lawan Thailand?”

Terus terdiam masing-masing. Serentak mereka tala pandang ke arah aku sebelum bergerak mengelilingi aku dan Suraya.

“...”

Masing-masing diam terpaku menala pandang ke arah tulisan yang terpapar atas muka kertas. Aku angkat wajah mengamati wajah-wajah di hadapan mata. Semua tayang riak kosong. Sah seorang pun tak tengok bola.

“Err… siapa layan bola?” soal Aidil sebelum memandang wajah-wajah di sisinya. Laju aku menggeleng. Maklumat yang aku tahu pun cuma bahagian yang mana Thailand menang selepas berentap dengan Malaysia. Skor? Eheh! Tentu-tentulah aku tak tahu.

“Aku cuma tahu Thailand menang je. Klu dia mungkin dekat skor perlawanan tu?” ajuku mencuba nasib. Adalah juga buah pandangan daripada tak ada langsung.

Fay pandang aku lama sambil melurut dagu. “Skor 0-1 kalau aku tak salah,” balasnya.

“Jadi mungkin ke…” suara seseorang yang aku tak pasti siapa.

Parking lot?” Shao memandang riak wajah lima orang ahli kumpulannya termasuk aku.

Raihan menggaru pelipis yang tidak gatal. “Kita boleh cuba?”

“Jom!”

Untuk kali pertama aku rasa seronok untuk duduk dalam kumpulan. Sesat sama-sama. Lencun sama-sama. Ke hulu je hilir sama-sama. Tahan lif sama-sama sampai hampir lima belas minit sebab takut lif tertutup tanpa sempat ahli kumpulan lain berlari masuk. Selalu dibuat orang ke explore race naik lif?

Perjalanan hidup yang macam ini yang aku cari sebenarnya sebab untuk jadi doktor yang baik tu tak mudah. Banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Buku akan jadi teman setia tapi akhirnya bukan buku tu yang akan jadi pesakit kita. Jadi nikmati sedayanya.

Bak kata mentor aku, "MBBS is a journey. There's no destination for you. So enjoy it, cause every path you took, its gonna be different."

No comments:

Post a Comment