Saturday, 17 August 2019

Tentang Angan (Bab 5)


BAB 5
(Hari pertama)


Baju kurung yang licinnya lain macam usai diseterika membuatkan aku berpuas hati dengan penampilan diri. Hari pertama memang semangat. Hujung tahun silap hari bulan aku cuma pakai T-shirt dengan seluar tidur pergi kelas. Punat dekat telefon aku tekan, kelas mula pukul lapan tapi sekarang baru jam tujuh. Semangat terlebih namanya ni, sejam awal aku bersiap.

Muncung tudung dibetulkan sebelum aku tarik kerusi di meja belajar untuk melabuhkan duduk. Diam. Sesaat dua aku termenung memandang dinding putih dengan meja yang kosong depan aku.

‘Benda tak mudah. Kau pun bukannya geliga sangat nak menghafal segala jargon medik tu. Kalau sikit In shaa Allah lepaslah tapi aku tak rasa input tu sikit. Boleh ke ni, Aya?’ Nafas aku hembus berat.

“Along habaq awal-awal. Medik tak senang tau. Kalau tak berani nak ambil risiko jangan ambil,” pesan along yang tengah memandu lepas aku dapat panggilan yang kata aku lulus temuduga.

Macam biasa aku tayang riak kosong, “Bidang apa je pun yang senang nak belajar dalam dunia ni?” jawab aku memberi soalan yang terkandung jawapan tersirat.

“Kalau hang dah kata lagu tu tak apalah. Cuma pikiaq elok-elok ja. Kalau rasa tak mampu. Jangan ambil.”

“Hmm…”

Masa tu otak aku dah melayang fikir benda lain. Benda yang tak boleh nak dikongsi dengan sesiapapun walakin keluarga aku sendiri. Pandangan masih lagi menebar ke jalan raya. Bungkam.

Kertas A4 yang berselerakan dalam laci aku ambil sehelai. Pembaris panjang dalam bekas aku capai sebelum melukis garis-garis lurus. Selesai sahaja mengisi baris-baris panjang di atas kertas. Aku ambil pula gunting. Menggunting satu persatu sehingga beberapa kertas panjang dengan lebarnya yang kecil terbentuk.

Inilah masalah seorang Aya yang orang sangka optimistik. Yang orang sangka pemberi kaunseling yang baik. Yang orang sangka bahagia tak ada masalah dan tak perlu fikir apa-apa sebab semua benda yang orang nak selalu dia dapat. Setiap ‘orang’ tu pasti ke aku macam tu?

‘Orang’ tu tak tahu betapa aku bergelut untuk jadi optimistik sebab aku tahu sisi aku yang satu lagi macam mana. Sisi yang aku tak suka untuk orang nampak. Sisi yang acapkalinya bila orang tahu … mereka akan buang terus nama aku daripada hidup masing-masing. Untuk itu juga aku jadi lone ranger sebab orang yang boleh terima setiap sisi seorang Aya tu sedikit sangat.

Sekarang pemikiran pesimis aku dah mula mengetuk kepala. Pen aku capai sebelum mencoret kata-kata semangat untuk diri sendiri. Aku tak nak orang risau, aku tak suka orang risau tentang aku. Jadi setiap kali rasa ni datang bertandang, aku akan cari jalan untuk pujuk diri sendiri.

‘Jalan ni susah. Tak ada sesiapa yang boleh kata ia mudah. Cuma … kena ingat selalu, usaha keras yang kita bergelut tanam hari ni akan jadi hasil di penghujungnya dengan izin Dia. Tuai masa depan yang indah-indah.’

Aku terdiam pandang tulisan sendiri. ‘Apa yang kau nak sebenarnya, Aya?’ Selang beberapa ketika aku tersenyum. Jawapan tu muncul sendiri dalam kepala. Sekarang bukan masa nak rasa ragu. Allah dah letak aku dekat jalan ni sebab aku yang minta. Tapi kalau bukan jalan ni yang terbaik, Dia takkan luluskan. Itu pasti. Tahu maknanya apa? Dia tengah rancang sesuatu yang lagi baik melalui jalan ni. Tak kisahlah apapun hasilnya nanti. Yang penting, usahakan dulu yang sekarang bukan yang belum pasti.

Tangan laju mencoret kata-kata semangat yang berbeza pada setiap satu kertas panjang yang telah digunting. Rancak tangan membentuk lipatan bintang sebelum dicampak masuk ke dalam cawan.




Kelas Kuliah Fisiologi, Biokimia dan Anatomi dah buat kapasiti otak aku untuk menerima apa-apa input dalam waktu terdekat semakin susah. Tiga jam tanpa henti tapi sebab aku dah terbiasa kelas padat macam ni sewaktu di matriks jadi tahan lagilah. Cuma inputnya aduyai … baru hari pertama kut.

Slide yang dah penuh dengan teminologi anatomi tu aku baca satu-persatu sambil telinga digagahkan cuba menangkap penerangan pensyarah dekat depan dewan kuliah.

“You have to remember the medical terminology in this slide. It is all important as these terminology will be used throughout your life as a medical student.” Tangan yang dah menari mencatat jadi terbantut untuk seketika. Aku pandang muka pensyarah dekat depan kemudian aku pandang skrin. Terkebil-kebil aku sekejap.

Semuanya?

Masih dalam situasi tu aku boleh husnuzon lagi. Ada banyak masa, kan? Bolehlah kut kalau aku perlahan-lahan hafal satu-satu. Itulah yang aku sangka masa tu. Masalahnya nak menghafal ni satu je. Kita akan cepat lupa apa yang kita hafal kalau  tak faham.

‘Kau nak hafal nama orang pun mengah. Ini nak hafal semua tu?’ Aku gelengkan kepala. Selama ni aku suka bagi alasan, aku bukan ‘otak span’ sebab tu aku lambat sikit nak faham dan hafal. Satu aku sedar, kalau aku masih berfikiran macam tu. Bendanya takkan bawa aku ke mana. Kalau kita ada masa nak merungut, maknanya kita juga sebenarnya ada masa nak usahakan benda yang kita rasa susah tu supaya jadi lebih baik. Jadi tutup mulut dan buat.

Baru seminit dua fikiran aku melayang, saat aku pandang skrin semula. Dekat depan aku dah berubah slide yang lain. Rupa-rupanya aku dah terlepas tiga slides. Serius ke aku mengelamun seminit dua ni? Nafas aku tarik dalam sebelum dihembus perlahan.

“Fokus… fokus….”

Perkataan-perkataan yang berbaris dekat depan aku cuba hadam sebaiknya kemudian beralih ke buku catatan membuat sedikit ringkasan.

Prone: Tertiarap
Supine: Terlentang (Ingat spine dekat belakang)
Ventral: Mana-mana bahagian yang berkaitan atau menghadap ke depan (abdomen)
Dorsal: “  “ bahagian belakang


Awal-awal jelah tulisan aku cantik. Lepas-lepas tu semua dah macam sepupu cacing kerawit. Sekejap dekat kiri, sekejap kanan kemudian atas bawah ikut suka. Mana ada ruang kosong aku sumbat. Lepas habis catat baru aku perasan. Aku tak faham apa benda yang aku tulis.

“...”

‘Kau kena belajar buat benda bagi tersusun dan teratur sikit, Aya. Macam mana nak ulangkaji balik kalau tak faham tulisan sendiri?’ desis hati aku.

Pipi aku kembungkan geram. Aku tak nak akui tapi kalau dah bendanya betul takkan nak nafi?  

“Tak apa, Aya… tak apa. Tak ada benda yang tak boleh nak diselesaikan dalam dunia ni. Ambil masa kau dan belajar daripada kesilapan,” pujuk aku sendiri dengan nada rendah.

Teman dekat sebelah yang memang aku sendiri tak kenal, menoleh ke arahku sekilas sambil menongkat dagu. Selang beberapa detik dia kembali menumpukan perhatian untuk mendengar penerangan Doktor Layl di hadapan.

No comments:

Post a Comment