BAB 6
(Pertemuan)
Kepala dah macam burung belatuk menahan kantuk yang nampak gayanya tak pernah berhasil dengan hanya mengemam Kopiko. Tulisan yang lagi teruk daripada rupa cacing kerawit dah cantik terlakar atas kertas kajang. Tanpa sedar tangan di sebelah menghulur bekas gula-gula lain pula.
Walaupun pandangan berbalam, aku gagahkan juga memandang jenama yang berada di dalam genggamannya. ‘Eclipse’ berwarna ungu terlayar di ruang visual. Nak ambil tapi aku tak makan benda-benda pedas dan berangin ni. Nak ditolak. Ermm…
“Tak apalah, terima kasih. Saya tak makan gula-gula mint. Tak tahan pedas,” dalam mamai aku balas.
Dia tersenyum sebelum menarik tangan aku seraya meletakkan bekas gula-gula tadi ke telapak tangan.
“Tak pedas sangat pun. Rasa berangin sikit je. Manis. Cubalah.”
Aku dengar je perkataan manis, terus aku batalkan hasrat nak menolak untuk kali kedua. Masalah bilamana aku ni memang spesis suka benda-benda manis.
Gula-gula kecil yang dah selamat masuk ke dalam mulut aku kulum. Bekas di tangan dihulur semula kepadanya pemilik asalnya.
“Terima kasih.”
Dia angguk.
Aku rasa hampir lima hari aku duduk dekat tempat yang sama berjirankan orang yang sama. Sampai ke hari ini aku tak kenal dia siapa. Pandangan cuba difokuskan kembali ke hadapan. Memandang Dr. Ram yang tekun benar memberi penerangan pengenalan berkenaan subjek Fisiologi.
“Nama siapa?” soalku rendah takut ditangkap pensyarah.
Dia pandang aku sekilas sebelum memandang ke hadapan semula sambil tersenyum. “Aisha.”
Aku anggukkan kepala tanda memahami. Satu aku perasan tentang jiran sekuliah aku ni. Dia pun spesies pendiam tak bercakap dengan orang. Aku jeling sekilas ruang di sebelah yang memang penuh dengan alat-alat yang dia gunakan untuk menyalin nota. Sangat cantik dan tersusun.
Kemudian aku pandang nota sendiri. Hampir sahaja aku dapat cardiac arrest. Tulisan alien jatuh dari planet mana ni, Aya? Lambat-lambat sambil mengawal pergerakan, kertas tadi ditelangkupkan. Mengelakkan orang lain daripada melihat nota yang aku tulis. Lagi sekali aku jeling dia dekat sebelah. Barang-barang dia memang penuh dengan objek-objek yang ada gambar Star Wars.
“Minat Star Wars ke?”
Dia toleh ke arah aku sekilas sebelum memandang barang-barangnya sendiri.
“Die hard fan.”
Aku tersenyum melihat dia ketawa dengan ujaran sendiri. Maknanya suka benarlah tu. Bukan setakat minat.
“Minat juga ke?” Aku geleng laju. Pernahlah buka sekali dua tapi tak bertahan setengah jam kemudian aku tutup televisyen. Entahlah. Tak kena dengan jiwa bak kata orang.
Dia angguk. “May force be with you.”
Aku tarik hujung bibir lagi lebar dari tadi. Tagline Star Wars. Tak tengok tak bermakna tak tahu. Tangan aku hulur.
“Aya.”
Huluran tangan dia sambut sebelum dia pandang aku dengan penuh keramahan.
“Nice to know you, Aya.”
Tangan rancak memasukkan peralatan menulis ke dalam kotak pensel. Kertas-kertas yang bertaburan di atas muka meja dikumpul satu persatu sebelum disatukan ke dalam fail putih.
“Nanti kita ada kelas apa?”
Aisha toleh ke arah aku sekilas sebelum menekan punat di sisi telefon bimbit. Skrin yang menyala memaparkan jadual kelas sebagai latar, ditatapnya seketika. Mengamati satu persatu kotak yang tertulis untuk hari Selasa.
“Kita ada kelas tutorial. Aya kelas apa? Lain kelas lain subjek ni. Ikut rotation.”
Aku memuncungkan mulut sambil memanggungkan kepala. Minda ligat mengorek memori yang entah tersimpan atau tidak maklumat berkenaan pembahagian kelas.
“Tak ingatlah tu. Kejap Aisha tengokkan,” sambungnya apabila aku berjeda terlalu lama.
Tersengih kelat aku dibuatnya. Ekor mata cuba menjejak nama-nama yang terpampang di skrin sambil-sambil aku membantu mengemas barangnya.
“Ni kan?” soalnya meminta kepastian.
Kepala didekatkan apabila telefon diunjur mendekat. Laju aku mengangguk. “Betullah tu.”
Aisha menelek lama sebelum kembali bersuara. “Awak kelas B dua. Jadi awak akan masuk kelas Biochem dulu lepas ni.”
Aku mengangguk mengiyakan. Takut sebenarnya. Dah jumpa kawan, alih-alih kena berpisah tapi tak apalah, sekarang atau nanti. Lumrahnya memang begitu, akan sampai masa kita akan sendirian juga kelak. Setahun duduk di matrikulasi dah ajar aku untuk bergerak sendiri tanpa kawan. Bukan sebab tak mahu berkawan sebaliknya sebab aku memilih begitu. Kelompak yang dekat dengan aku ketika itu bukanlah kelompok yang aku rasa aku boleh bergerak seiring.
Masing-masing jenis suka bergosip. Aku pula tak terlalu berminat dengan cerita-cerita sensasi yang langsung tak ada kena mengena dengan aku. Lelaki dengan sikap acah-acah macho dan perempuan pula dah gaya tipikal die hard fan bila nampak lelaki kacak lalu depan mata.
Aku? Dah gaya pokok buluh tepi sungai. Kejung tak melentur. Mereka kata orang ini kacak. Aku pandang tak adalah kacak mana. Setakat kulit cerah rahang tirus je pun. Kacak lagi kucing gemuk aku dekat rumah. Ada jugalah aku beberapa kali cuak sebab ingatkan aku ni dah tak mengikut haluan kanan. Tapi tak. Alhamdulillah aku masih di atas landasan yang betul.
Cuma citarasa aku memang tak termasuk lelaki acah macho yang dikejar-kejar oleh perempuan sekeliling.
Bunyi tepukan yang bergema betul-betul di hadapan wajah buatkan aku kembali semula ke alam realiti. Wajah Aisha kembali menjajah medan visual aku.
“Hoih! Mengelamun pula dia. Lambat dah ni. Jom, nanti tak sempat makan.”
Beg digalasnya ke bahu. Terkebil-kebil aku memandang Aisha sebelum terkocoh-kocoh mengekori dari arah belakang.
“Aisha kelas apa?” Dia pandang aku sekilas.
Aku ingat aku dah cukup tinggi tapi bila masuk universiti ni makin tenggelam tak timbul-timbul pula ketinggian aku ni nak dibandingkan dengan orang lain. Dengan kata mudahnya aku adalah antara yang pendek di antara mereka-mereka yang pendek. Mengikut definisi aku, pendek itu comel. Persetankan apa orang kata. Langkah diperlahankan gadis itu, menunggu aku menyaingi langkahnya. Kunci kereta dikeluarkan Aisha dari poket seluar.
“Kelas A,” jawabnya melayan.
“Alaa…”
Dia tergelak mendengar reaksi aku.
“Dalam lecture hall boleh je jumpa. Duduklah tempat selalu.” Pipi aku kembungkan sengaja. Mahu memprotes.
“Haa… buat pipi kembung lagi. Cucuk pakai pin baru tahu,” acahnya lucu tapi lagi besar pipi aku buat. Kalah kembangnya pipi tupai tanah apabila makan kacang.
Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Ni nak makan mana ni?”
“Aya nak makan dekat Tesco, murah sikit. Makanan dekat kafe mahal sangatlah.”
“Boleh je. Jom.”
Bersinar-sinar mata aku. Hasrat aku memang nak ke Tesco sama ada Aisha mahu ikut mahupun tidak tapi tak sangka pula dia setuju untuk turut serta.
“Jom!” sahutku teruja. Perut dah berkeroncong lain macam.
No comments:
Post a Comment