I
(Prolog)
Orang kata, kalau kita ada tahi lalat dekat kaki maknanya kita akan merantau jauh. Orang kata... bukan aku. Aku pun ada juga 'tanda' tu dekat kaki, bukan takat satu tapi dua. Percaya? Tak pun. Tapi sungguhlah Qada' dan Qadar Tuhan tu langsung tak terletak pada manusia pun sebenarnya. Harapnya aku memang untuk pergi jauh. Kalau tak dapat pergi seberang benua atau laut sekalipun. Paling tidak aku cuba nak belajar duduk jauh sikit daripada keluarga. Aku nak belajar jalan sendiri. Belajar didik diri yang tak berapa berani ni untuk lompat juga sampai berani.
Usai sekolah rendah, alhamdulillah. Keputusan UPSR buat aku berharap untuk masuk asrama penuh. Walaupun aku masih tak tahu apa maksud asrama penuh tu dekat jiwa kanak-kanak suci umur 12 tahun macam aku masa tu. Masih... dapatnya tidak. Naif lagi. Apa yang aku tahu?
13 tahun bermastautin di Kedah. Tingkatan dua aku pindah ke Johor meneruskan perjuangan yang sama. Kekoknya nak membuang loghat Kedah yang memang dah sebati dengan darah daging waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Betapa Aya yang selama ni bercakap lantang tanpa henti cerianya boleh bertukar jadi budak introvert yang kalau duduk tepi batu pun mungkin, tak ada sesiapa yang akan perasan. Sebab budak Kedah yang pekat loghatnya nak membiasakan diri dengan bahasa komunikasi dekat Johor tu memang azab. Sampai aku kena guna bahasa ala-ala Bahasa Melayu masa Kesultanan Melayu Melaka.
Penilaian Menengah Rendah (PMR) alhamdulillah memberangsangkan juga keputusannya. Rezeki tu dapat. Tapi dekat sebuah sekolah sains di Terengganu. Aku memang nak pergi tapi memandangkan aku tertekan sebab ayah dengan mak asyik membebel risau banjir, jauh dan asyik pertikai kenapa aku mohon sekolah di sana dan sebagainya. Aku terus tolak tawaran. Penat nak bergaduh. Aku tak reti bergaduh pun sebenarnya. Selalu diam.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidaklah segempak mana. Tapi masih... syukur alhamdulillah aku lulus matematik tambahan dan keputusan subjek aku yang lain masih ada harapan untuk aku buat medik. Berbekalkan dua pilihan sama ada matrik atau diploma mikrobiologi di Kuala Pilah. Aku pilih matrik. Walaupun dua-duanya boleh bawa aku pergi ke jurusan medik. Aku ingat harapan aku dah lebur nak terus ke bidang perubatan tapi disebabkan dua-dua laluan tu memang boleh menghala ke 'situ'. Sungguh aku rasa Allah buka laluan. Walaupun keputusan SPM aku memang akan tenggelam kalau nak di banding calon-calon lain. Ya, Dia teman aku sampai ke hujung laluan.
CGPA matrik? Heh! Cukup-cukup makan. Tapi masih lepas syarat kelayakan untuk sambung medik. Tahu aku minta untuk belajar sambung bidang perubatan dekat mana? Sabah dan Sarawak. Teruja jugalah aku kalau dapat pergi. Harapan menggunung. Tapi sayang, rezeki bukan di situ. Takdir tak bawa aku jauh dari keluarga lagi.
Hati aku entah kenapa buat aku terasa kuat semacam firasatnya untuk sambung bidang perubatan di sebuah universiti swasta di Selangor. Pada masa yang sama berat hati juga, sebab aku tahu kos yang bakal ayahanda aku belanjakan bukan sekupang dua. Silap hari bulan dah boleh beli rumah sebuah dengan pembiayaan untuk aku belajar dalam bidang yang satu itu.
Masih...
Allah mudahkan. Bukan aku, sebaliknya ayah aku yang berulang-alik, dari tempat kerja, ke rumah sampailah ke situ semula untuk beberapa hari. Sehingga dia betul-betul puas hati untuk anak dia ni sambung belajar di situ.
Sehingga akhirnya bermulalah perjalanan seorang Aya sebagai seorang pelajar perubatan Tahun Satu di universiti tersebut. Ini sebuah cerita. Yang untuk dibanggakan tidak, tiada langsung pencapaian yang memberangsangkan pun untuk dibanggakan. Sekadar cerita untuk dikongsi dan dibuat kenangan.
Aku tak kata cerita aku seronok tapi kalau sudi membaca, bersedialah menghayati watak Aya seadanya.
No comments:
Post a Comment